TSIB lancar siasatan ke atas tragedi SQ321

Iklan
Pergolakan udara yang teruk itu memberi impak kepada ruang kabin. Foto Agensi

SINGAPURA - Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Singapura memaklumkan ia melancarkan siasatan ke atas pesawat Singapora Airlines (SIA), SQ321 yang berdepan masalah pergolakan udara yang teruk dan terpaksa dilencongkan ke Bangkok pada Selasa.

"Pasukan tersebut telah menghubungi rakan mereka di Thailand dan akan menghantar penyiasat ke negara tersebut," ujar kementerian itu.

Iklan
Iklan

Kejadian menggemparkan itu berlaku ketika pesawat yang membawa 229 penumpang termasuk 16 rakyat Malaysia itu dalam perjalanan dari London ke Singapura.

Reuters memetik kenyataan salah seorang penumpang, seorang pelajar warga Malaysia, Dzafran Azmir melaporkan mereka yang berada di dalam tandas dan kru penerbangan antara yang mengalami kecederaan paling serius.

Iklan

"Sebahagian besar mereka mengalami kecederaan pada kepala dan tulang belakang," ujarnya.

Kejadian itu turut menyebabkan sejumlah kru penerbangan cedera. Foto Agensi

Pengeluar Boeing 777-300ER itu yang berpusat di Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan turut menyampaikan ucapan takziah kepada lelaki warga Britain yang maut dalam kejadian tersebut.

Iklan

"Kami mengikuti perkembangan kejadian itu dan bersedia untuk menyokong SIA," menurut Boeing menerusi platform X.

Sementara itu, Pengurus Besar Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, Kittipong Kittikachorn memaklumkan mangsa penumpang berusia 73 tahun tersebut dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

"Seramai 30 termasuk kru cedera dan tujuh mangsa penumpang mengalami kecederaan serius. Kira-kira 18 daripadanya kini dirawat di hospital," jelasnya.

Siasatan awal mendapati SQ321 berdepan pergolakan udara yang teruk ketika kru kabin sedang menghidangkan menu sarapan kepada penumpang hingga memaksa juruterbang meminta kebenaran untuk melakukan pendaratan cemas di ibu kota Thailand tersebut pada jam 3.45 petang (waktu tempatan).

Insiden itu dilaporkan berlaku di ruang udara Lembangan Irrawaddy pada altitud 11,277 meter.

Difahamkan, SIA turut menghantar 50 staf mereka untuk memberi sokongan kepada kesemua mangsa penumpang yang terjejas. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!