SEPERTI kebanyakan orang lain, media sosial sudah menjadi tatapan wajib Merak Jalanan setiap hari, tidak kisahlah lama atau sekejap. Jika ada isu menarik, akan lebih lamalah mata melekat pada telefon pintar.
Selain membaca perkongsian atau artikel yang dimuat naik, ada masanya Merak Jalanan gemar ke bahagian komen bagi melihat reaksi warga maya terhadap apa yang mereka tonton atau baca.
Kata seorang rakan, dalam dunia ini wujud bermacam manusia. Ada yang melihat sesuatu dari sudut positif atau negatif semata, ada yang melihat dari kedua-duanya. Semua itu bergantung kepada hati masing-masing.
Jika kelemahan yang digali dalam beribu kebaikan, maka semuanya akan nampak jahat.
Namun, ada satu persoalan yang terus bermain-main dalam kepala Merak Jalanan sebaik selesai membaca komen pengguna media sosial mengenai perkongsian tentang pasangan yang bercerai. Ini kerana terlalu banyak komen ditinggalkan yang memburuk-burukkan pasangan kepada umum.
Merak Jalanan tidak mahu menghakimi sesiapa kerana mungkin akan ada yang berkata, kita tiada di tempat mereka dan tidak rasa apa yang mereka lalui. Pun begitu, bagaimana jika pasangan, anak-anak atau ahli keluarga sendiri membaca apa yang ditulis.
Perkara salah tetap salah walaupun cuba diluruskan agar dilihat betul. Tak semua hal rumah tangga dikongsikan dengan orang lain.
Perlu diingatkan tidak semua akan bersimpati kepada nasib yang menimpa seseorang kerana wujud manusia yang akan bertepuk tangan di atas penderitaan seseorang. Jadi berpada-padalah.
Apa pun bagi pasangan yang diuji hubungan mereka, cari jalan penyelesaian terbaik melalui saluran betul. Jangan dibuka aib kelak menyesal tak sudah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!