SHAH ALAM - Kes seksual dalam kanak-kanak yang dilakukan keluarga sendiri semakin membimbangkan di negara ini apabila menunjukkan peningkatan sejak empat tahun lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mendedahkan, statistik pihaknya menunjukkan sebanyak 2,722 kes direkodkan sejak tahun 2020.
Beliau berkata, kes tersebut meliputi jenayah rogol, sumbang mahram, cabul, gangguan seksual, seks luar tabii, pornografi, komunikasi secara seksual, amang seksual fizikal dan bukan fizikal.
"Jumlah paling tinggi direkodkan ialah pada tahun lalu iaitu sebanyak 766 kes berbanding 459 kes pada tahun 2020. Bagi tahun ini, setakat empat bulan sehingga April lalu, sebanyak 268 kes dilaporkan,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas mengenai jenayah pedofilia, Siti Kamsiah berkata, golongan itu mempunyai rangsangan seksual yang amat tinggi terhadap kanak-kanak yang belum akil baligh dan biasanya merujuk usia di bawah 13 tahun tidak kira lelaki atau perempuan.
"Pertama, seseorang itu mungkin secara semula jadi ada sifat dan naluri kecenderungan seksual sebegitu, selain faktor sejarah lampau yang pernah menjadi mangsa seksual orang dewasa hingga membentuk nalurinya begitu.
"Berkemungkinan juga aktiviti seseorang yang gemar menonton video lucah kanak-kanak, pembentukan diri dipengaruhi sehingga ada tarikan dan membentuk tingkah laku sebegitu,” ujar beliau.
INFOGRAFIK
Kes dilaporkan kepada PDRM:
Tahun Jumlah
2020 459
2021 579
2022 650
2023 766
2024 (setakat April) 268
**************
JENIS-JENIS KES
Amang seksual 1,325
Sumbang mahram 989
Rogol 278
Seks luar tabii 56
Amang seksual bukan fizikal 30
Cabul kehormatan 13
Berkomunikasi secara seksual 11
Gangguan seksual 10
Pornografi kanak-kanak 8
Lain-lain 2
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!