SHAH ALAM - Serangan dan cubaan rampasan senjata api di Balai Polis Ulu Tiram, Johor Bahru dan Balai Polis Dato’ Keramat, Pulau Pinang tiada kaitan dengan penglibatan mana-mana gerakan radikal.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, kes itu sama sekali tidak menggambarkan ciri-ciri jenayah terancang dan tiada bukti menunjukkan ia dilakukan oleh kumpulan penjenayah, radikal atau ekstremis.
"Gerakan radikal atau kumpulan penjenayah tidak akan melakukan serangan secara terbuka seperti di dua balai polis itu.
"Mereka (gerakan radikal) tidak akan sama sekali mendedahkan identiti dengan melakukan serangan terbuka semata-mata untuk mendapatkan bekalan senjata api.
Pada 19 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki cuba merampas senjata submesingan jenis HK MP5 milik seorang anggota polis di Balai Dato’ Keramat gagal apabila berjaya ditangkap pada pagi Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, suspek berusia 35 tahun itu juga cuba menyerang anggota terbabit dengan topi keledar hingga berlaku pergelutan.
Pada 17 Mei, dua orang anggota di Balai Polis Ulu Tiram maut manakala seorang lagi parah selepas ditetak dan ditembak suspek bertopeng dan bersenjatakan parang.
Bagaimanapun, Kamal Affandi berkata, jenayah melibatkan serangan di balai polis bukan kali pertama berlaku.
"Sebelum ini, pernah berlaku serangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah dan Balai Polis Pinggiran Subang sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa anggota bertugas. Kes itu turut dilakukan oleh individu perseorangan dan bukannya kumpulan,” ujarnya.
Mengulas mengenai keselamatan, pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim menggesa agar pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan di lokasi yang berisiko diserang seperti tempat penyimpanan senjata api, lapangan terbang dan kawasan tumpuan umum.
Memiliki pandangan berbeza, Shahul Hamid berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kes melibatkan serangan dan cubaan rampasan senjata, ada kaitan dengan jenayah terancang.
"Pun begitu, kita perlu elak kes yang berlaku pada tahun 2000 daripada berulang apabila kumpulan Al-Maunah melakukan pencerobohan ke atas sebuah kem Rejimen Askar Wataniah dan berjaya melarikan sejumlah besar senjata api dari stor menyimpan senjata.
"Susulan itu, pihak berkuasa perlu mempertingkatkan kawalan keselamatan dengan segera kerana khuatir akan berlaku serangan hendap,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!