APABILA berbicara perihal figura seorang bapa, sudah pasti terlintas di akal fikiran bahawa mereka merupakan pelindung kepada institusi kekeluargaan.
Bagaimanapun, tidak semua bapa memiliki naluri kebapaan kerana ada dalam kalangan mereka mengambil kesempatan ke atas anak-anak sehingga sanggup menodai darah daging sendiri.
Perkara diperbincangkan itu bukan satu hal yang baharu tetapi acap kali terjadi sehingga beberapa kes sudah dihadapkan ke mahkamah.
Terbaharu, seorang bapa kekal menjalani hukuman penjara 25 tahun dengan 10 sebatan atas kesalahan merogol anak kandung berusia 14 tahun yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU), tahun lalu.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi Klang menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Klang yang menjatuhkan hukuman tersebut pada 1 November 2023.
Teganya hati seorang lelaki yang bergelar bapa kerana sanggup menodai anak kandung yang berstatus OKU.
Kisah yang menyayat hati ini akhirnya membawa kepada laporan muka hadapan Sinar Harian pada 22 Mei 2024 yang menceritakan tentang ‘raksasa’ dalam rumah.
Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah, Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, kes seksual dalam kalangan kanak-kanak yang dilakukan keluarga sendiri semakin membimbangkan.
Beliau mendedahkan, statistik pihaknya merekodkan sebanyak 2,722 kes sejak tahun 2020 dan ia menunjukkan peningkatan sejak empat tahun lalu.
Ujar Siti Kamsiah, kes tersebut meliputi jenayah rogol, sumbang mahram, cabul, gangguan seksual, seks luar tabii, pornografi, komunikasi secara seksual, amang seksual fizikal dan bukan fizikal.
Pendedahan itu benar-benar membimbangkan kerana ia seolah-olah tidak mencerminkan institusi kekeluargaan itu selamat kepada anak-anak.
Keluarga sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak dan mewujudkan suasana selamat untuk mereka membesar tanpa rasa takut terhadap sesuatu perkara.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!