[VIDEO] Dua sahabat jual lemang periuk kera, persediaan bersara tentera

Iklan

KOTA BHARU - Dua sahabat karib yang juga anggota tentera tidak menyangka lemang periuk kera yang diusahakan sejak sebulan lalu mendapat sambutan daripada pelanggan.

Keputusan Mohamad Jaya Mat Jusoh, 41, dan Kamal Salleh, 39, memulakan perniagaan itu sebagai persediaan apabila mereka bersara pada Disember tahun ini.

Iklan
Iklan
Zarina (kiri), Mohamad Jaya dan Kamal menyediakan lemang periuk kera untuk jualan di gerainya di Jalan Jelutong-Sokor, Kok Lanas.

Idea itu dibuat selepas memikirkan tidak ramai yang menjual menu yang terkenal di Pahang itu.

"Masih ramai yang tidak mengenali lemang periuk kera di Kelantan dan ada pelanggan yang tidak pernah menikmati menu ini tetapi terkejut kerana rasanya lebih lemak berbanding lemang biasa," katanya ketika ditemui di gerai mereka di Jalan Jelutong-Sokor, Kok Lanas pada Selasa.

Menurut Mohamad Jaya, mereka kini sedang berkhidmat di Rejimen Ke-5 Altileri Diraja, Kem Desa Pahlawan tetapi turut menghadiri kursus dalam bidang agrotani sebagai persediaan persaraan.

Lemang periuk kera

Iklan

Mohamad Jaya berkata, bagi merealisasikan hasrat menjadi peniaga lemang periuk kera di Kelantan, dia dibantu isterinya, Zalina Ismail, 38, yang sudah membuat lemang periuk kera itu sejak lima tahun lalu untuk hidangan istimewa keluarga terutama pada hari raya.

Zarina menunjukkan tumbuhan periuk kera yang diambil di hutan di Setiu

"Pada mulanya isteri saya membuat ketupat periuk kera tetapi bertukar kepada lemang kerana rasanya yang enak dan tidak terlalu sukar untuk menyediakannya," katanya ketika ketika ditemui di gerai mereka di Jalan Jelutong-Sokor, Kok Lanas.

Iklan

Bagaimanapun jelasnya, kesukaran mendapatkan periuk di Kelantan menyebabkan dua sahabat itu sanggup pergi ke hutan di Setiu setiap dua kali seminggu untuk mencari tumbuhan liar itu.

Menurutnya lagi, periuk kera hidup di kawasan berpaya dan mereka terpaksa menghadapi cabaran memasuki kawasan lembab dan berdepan pelbagai jenis serangga.

"Alhamdulillah setakat ini kami tidak mengalami sebarang masalah dan boleh mengambil kira-kira 200 hingga 400 biji periuk kera dalam tempoh beberapa jam di kawasan berkenaan," katanya.

Kongsinya lagi, tidak sukar menyediakan lemang periuk kera kerana kelongsongnya lebih kecil berbanding buluh lemang dan mereka perlu mengukusnya selama 40 minit.

Mohamad Jaya memberitahu, proses membersihkan periuk kera sebenarnya lebih sukar kerana perlu benar-benar bersih bagi mengelakkan lemang cepat basi.

"Biasanya kami akan merendam terlebih dahulu bagi mengeluarkan sisa habuk dan membersihkannya dengan teliti sebelum disimpan di tempat gelap bagi mengelakkan kulit periuk kera cepat pecah," katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata berusia di antara 9 hingga 17 tahun itu turut memberitahu, lemang mereka mula menerima tempahan di sekitar Pasir Puteh dan Machang.

Katanya lagi, lemang periuk kera dijual pada harga RM10 antara lima hingga enam biji bergantung pada saiz manakala rendang ayam berharga RM4 sebekas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!