SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (RCI Batu Puteh) pada Selasa dilakukan secara bersembunyi tanpa melibatkan kehadiran beliau dan peguamnya.
Ujar Dr Mahathir, prosiding itu didakwa dilakukan secara tertutup dan rahsia pada Selasa tanpa sebarang pemakluman kepada mana-mana pihak.
"Saya difahamkan oleh peguam mereka tidak diberi notis bahawa RCI berkaitan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan diadakan hari ini (Selasa). Sepatutnya jika RCI itu diadakan, saya atau peguam saya menjangka akan dipanggil untuk hadir dan mengikuti prosiding itu sepenuhnya.
"Apabila peguam saya mendapat tahu mengenai prosiding RCI itu mereka telah cuba menghadirkan diri dan mengemukakan beberapa permohonan serta bantahan.
"Kesemua permohonan dan bantahan itu ditolak dan prosiding RCI itu diteruskan secara tertutup,” katanya dalam hantaran di platform X pada Selasa.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, RCI untuk Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119] selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Ibrahim turut memperkenan lantikan tujuh Pesuruhjaya RCI yang dipengerusikan Md Raus dan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Datuk Zainun Ali selaku timbalan pengerusi.
Turut dilantik sebagai ahli ialah pengamal undang-undang, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu; mantan Dekan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin; Pakar Undang-Undang Perlembagaan dan Pentadbiran, Profesor Datin Dr Faridah Jalil; Pegawai Kewangan Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Pengarah Laut Wilayah Selatan, Jabatan Laut Malaysia, Dickson Dollah.
Dalam pada itu, menurut Dr Mahathir, beliau dan peguamnya berhak untuk hadir sepanjang prosiding berkenaan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).
Tambahnya, beliau akan membuat beberapa permohonan berhubung situasi berkenaan bagi mempertahankan dirinya.
"Bagaimana saya mahu menerang, memberi penjelasan atau mempertahan diri jika saya atau peguam tidak dibenarkan hadir sepanjang prosiding itu berlangsung.
"Selain memohon hak untuk saya atau peguam saya hadir untuk sepanjang prosiding RCI tersebut, peguam saya juga membuat beberapa permohonan lain termasuk memohon penarikan diri Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif; Pesuruhjaya RCI iaitu Baljit Singh dan Datuk Mohammed Ridha Abdul Kadir kerana wujudnya konflik.
"Ada beberapa lagi permohonan dibuat yang akan saya perincikan kemudian nanti. Yang menjadi pelik bagi saya ialah kenapa prosiding RCI ini diadakan secara sembunyi-sembunyi sedangkan ia telah diumumkan secara terbuka, anggota-anggota kerajaan memberi pendapat serta membuat tohmahan terhadap saya secara terbuka sebelum RCI ini bersidang,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!