Amir dikenang sebagai 'hero'

Iklan
Zulkiflee bersama anak keduanya, Nur Farah Adiba di bilik forensik Hospital Dungun.

DUNGUN - Bapa kepada mangsa lemas terakhir yang ditemui jam 3 petang tadi meluahkan rasa syukur dan terharu kerana usaha anaknya menyelamatkan rakannya yang lain ketika tragedi lemas diingati.

Zulkiflee Zakaria, 51, berkata, dia diberitahu anaknya, Mohamad Amir Izzudin, 21, berusaha menyelamatkan mangsa lemas yang lain ketika kejadian itu.

Iklan
Iklan

"Ramai kawan-kawan yang bercerita Amir berusaha juga untuk selamatkan rakan-rakan yang lain dan tidak melepaskan pautan tangan sebelum dia sendiri tenggelam dibadai arus kuat.

"Mungkin kebetulan, hanya dia sahaja yang tahu berenang berbanding rakan-rakan yang lain.

Iklan

"Walaupun mahir, keadaan laut yang bergelora agak mustahil untuk selamat," katanya ketika ditemui di bilik forensik Hospital Dungun hari ini.

Zulkiflee berkata, jasad anaknya itu akan dibawa pulang ke Jengka 4, Pahang hari ini sebaik selesai urusan mandi jenazah untuk dikebumikan di sana.

Iklan

"Jenazah akan dibawa pulang ke Jengka 4, Pahang untuk dikebumikan di kampung sebelah keluarga saya," katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana debaran dilalui bersama keluarga dan kenalan sepanjang tiga hari untuk bertemu jasad anaknya itu akhirnya berakhir.

"Macam-macam rasa ada, tak tergambar perasaan datang dari jauh dan menunggu selama tiga hari di sini.

"Alhamdulillah, akhirnya jasad anak saya dijumpai walaupun yang terakhir," katanya yang tiba ke sini sejak malam Jumaat lalu.

Mayat Mohamad Amir Izzudin ditemui jam 3 petang tadi pada jarak paling hampir dengan lokasi kejadian iaitu di kawasan muka kuala Dungun.

Terdahulu, mayat pertama mangsa lemas, Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, ditemui terdampar di Pantai Sura di sini kira-kira 2 kilometer (km) dari lokasi kejadian (Pantai Teluk Bidara) pada jam 7.30 pagi.

Mayat kedua, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, 21, ditemukan terapung oleh nelayan kira-kira selang empat jam (11.35 pagi) berhampiran lokasi mayat pertama ditemui.

Mayat ketiga, Muhammad Luqman Hakim Al Rashid Mohamed Sabaruddin yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik ditemui jam 12.17 tengah hari berhampiran lokasi mayat mangsa pertama dan kedua ditemui.

Kesemua mangsa merupakan pelajar semester akhir Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).