SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa melakukan siasatan hingga ke akar umbi dengan melibatkan pelbagai pihak bagi mengenal pasti motif sebenar serangan terhadap balai di bawah agensi itu dan insiden pemimpin politik menerima ancaman bunuh.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, siasatan tersebut juga harus merangkumi tahap kesihatan mental individu atau kumpulan yang melakukan jenayah berkenaan.
Menurutnya, tindakan sedemikian perlu bagi membolehkan agensi keselamatan utama negara itu lebih bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
"Serangan bersifat keganasan ini perlu disiasat hingga ke akar umbi dan tidak boleh dibiarkan membiak di Malaysia. Motif bagi setiap serangan ini perlu dikaji sebaiknya bagi memastikan ia tidak akan berlaku lagi.
"Serangan sebegini perlu dibanteras seawalnya agar ia tidak menjadi trend di negara kita. Ini kerana ia akan memberikan impak yang besar dari segi keselamatan rakyat.
"Siasatan sebegini harus juga merangkumi isu kesihatan mental seseorang. Kita ingin mengetahui adakah ini merupakan peniruan perlakuan yang agresif yang bertujuan untuk meraih perhatian.
"Jika ya, ini merupakan sesuatu yang serius dan siasatan harus dibuat melibatkan semua pihak baik dari pakar-pakar jenayah dan pelbagai agensi kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Negara sebelum ini digemparkan dengan serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor hingga mengakibatkan dua anggota polis terkorban dalam serangan yang dilakukan seorang individu.
Belum pun reda kes itu, rakyat sekali lagi dikejutkan dengan kes pencerobohan di Istana Negara disusuli tindakan cubaan merampas senjata anggota polis di Balai Polis Datuk Keramat di Pulau Pinang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menerima ancaman bunuh bersama dua butir peluru.
Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, melalui siasatan pelbagai pihak itu secara tidak langsung membolehkan hasil siasatan yang lebih tepat.
"Hanya dengan siasatan menyeluruh akan dapat memastikan kita mengetahui apakah motif sebenar di atas setiap serangan yang telah berlaku yang telah menggugat keselamatan negara ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!