TANJUNG MALIM - [DIKEMAS KINI] Keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang terkorban dalam serangan berdarah di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Jumaat lalu berhasrat untuk mengabadikan nama anggota itu pada surau baharu yang akan dibina di Kampung Poh Tambahan dekat Bidor.
Bapanya, Azhar Khaiden, 54, berkata, cadangan itu telah disuarakan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Sabtu lalu yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM400,000.
Menurutnya, kertas kerja berkaitan permohonan surau bagi menggantikan surau berusia lebih 33 tahun itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri, dua tahun lalu.
"Dengan tragedi yang menimpa anak saya, Saarani telah menziarah ke rumah Sabtu lalu, sekali lagi saya menyuarakan permintaan berkenaan dengan surau itu dan beliau bermurah hati bersetuju meluluskan pembinaan surau bagi kampung ini.
"Saya berhajat untuk menamakan surau baharu ini sempena nama anak saya dengan asbab (kejadian) itu, saya minta nama surau ini diabadikan sebagai Surau Al-Fahmi," katanya.
Azhar yang juga guru berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad di Kampung Poh Tambahan dekat Bidor pada Rabu.
Bapa kepada lapan anak itu turut berkongsi berita gembira apabila Lans Koperal Ahmad Azza Fitri yang bertugas di Sabah akan berpindah ke Ibu Pejabat Polis (IPK) Perak di Ipoh.
Menurutnya, berita itu sekurang-kurangnya dapat membantu isterinya, Nor Haliza Awaluddin, 49, yang masih bersedih selepas kehilangan anak keempat mereka.
"Ini semua kerana ALLAH SWT. Saya berterus terang memohon kepada pihak PDRM khususnya Ketua Polis Negara agar perpindahan anak saya itu dapat mengubat dan memberi semangat kepada ibunya yang telah kehilangan adiknya.
"Saya bersyukur perkara itu diterima dan anak saya mendapat waran baru penempatan dia telah dipindahkan dari Kota Kinabalu ke IPK Perak di Ipoh," katanya.
Dalam masa sama, Azhar berkata, mereka sekeluarga reda dan menerima pemergian insan tersayang dengan hati terbuka.
"Saya reda kerana semua ini telah disusun atur oleh Yang Maha Esa.
"Jadi saya cuba terapkan dan tegaskan kepada anak isteri saya mudah-mudahan mereka boleh terima kenyataan ini dengan hati yang reda dan terbuka," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!