SHAH ALAM - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis adalah milik rakyat.
Menurutnya, rakyat mendambakan BN untuk kembali mengambil amanah dengan penuh kerendahan hati dan terus melakukan koreksi diri.
"Sesungguhnya kemenangan ini bukan untuk menjadikan kita angkuh dan sombong, sebaliknya raikanlah kemenangan ini dengan penuh rasa keinsafan betapa wadah perjuangan ini hakikatnya adalah milik rakyat.
"Saya mewakili kepimpinan Pemuda UMNO-BN ingin mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di Kimanis, Sabah terutamanya anak-anak muda atas kemenangan ini. Di kala ramai kepimpinan meninggalkan bahtera perjuangan, kalianlah yang tetap setia mempertahankan wadah dan hari ini ALLAH membalasnya dengan sebuah kemenangan," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya sejam lalu.
Dalam pada itu, Dr Asyraf Wajdi mengharapkan gelombang kebangkitan anak muda di semenanjung akan terus bersinar dan memugar di bumi Sabah dengan barisan kepimpinan UMNO-BN yang baharu, muda dan berintegriti.
BN mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis pada PRK kawasan itu dengan majoriti 2,029 undi setelah Mohamad Alamin, 48, memperoleh 12,706 undi manakala pencabarnya, Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) meraih 10,677 undi.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kimanis, Jupari @ Jupry Etok yang juga Pegawai Daerah Beaufort di pusat penjumlahan undi di Dewan Datuk Seri Panglima Hj Mohd Dun Banir pada jam 9.30 malam tadi.
PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.