MUMBAI - Sekurang-kurangnya 39 ekor burung flamingo ditemui mati di lokasi berbeza di Ghatkopar Timur selepas bertembung dengan sebuah pesawat Emirates yang mendarat di lapangan terbang Mumbai, India.
Operasi mengutip bangkai burung itu bermula jam 10 malam (waktu tempatan) pada Isnin berikutan mendapat aduan beberapa penduduk di bandar tersebut.
Pegawai Jabatan Hutan, Amol Bhagwat yang mengetuai operasi itu bersama-sama anggota Pasukan Keselamatan Maharashtra menyatakan pihaknya menemui 29 bangkai malam Isnin manakala 10 lagi pada pagi Selasa.
Ketua Pemulihara Hutan Tambahan, SY Ram Rao pula berkata, mereka menemui 39 bangkai flamingo semasa operasi mencari sepanjang malam dan dibatalkan pada jam 11 pagi Selasa.
Rao menambah, pihaknya sedang menyiasat punca insiden jarang berlaku itu dan laluan pesawat sehingga melanggar sekumpulan burung terbabit.
Insiden terbongkar selepas kanak-kanak yang bermain di tepi jalan bersebelahan jalan Ghatkopar mendakwa mereka menjumpai sekumpulan burung mati di beberapa kawasan.
Kumpulan flamingo itu dipercayai bertembung dengan pesawat Emirates EK508 Mumbai-Dubai yang mendarat pada jam 9 malam.
Nahas berlaku di atas laluan pendaratan beberapa penerbangan antarabangsa. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!