KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) cedera parah selepas kereta dipandunya terkena tayar lori yang tercabut di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintenden Suffian Abdullah berkata, lelaki berusia 31 tahun itu kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 6.40 pagi, sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 50 tahun dari arah Rawang menghala ke Sungai Besi.
"Dua tayar lori itu kemudian telah tercabut dan masuk ke laluan bertentangan lalu terkena dua kereta jenis Proton Saga dan Proton Iriz," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Suffian berkata, kereta Proton Iriz yang dipandu dari arah Jalan Mahameru menghala ke Jalan Duta tidak sempat mengelak dan telah terlanggar tayar tersebut, lalu hilang kawalan seterusnya terbabas di kiri jalan.
"Pemandunya mengalami kecederaan parah di kepala telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.
"Manakala pemandu kereta Proton Saga berusia 33 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Izan Ismail berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 7.06 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas bergegas ke lokasi kejadian.
Mohd Izan berkata, setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati tayar sebuah lori tercabut lalu terkena dua buah kereta iaitu jenis Proton Iriz dan Proton Saga.
"Pemandu kereta Proton Iriz tersepit dan mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.41 pagi oleh pasukan bomba dengan menggunakan peralatan pemotong hidraulik.
"Mangsa dalam keadaan sedar itu diserahkan pada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 13 saat memaparkan kenderaan Proton Iriz mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung hadapan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!