KOTA BHARU - Pasukan Peguam UMNO Kelantan mahu membantu kerajaan negeri menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu.
Pengerusinya, Nik Saiful Adli Burhan berkata, hal ini kerana UMNO Kelantan tidak mahu melihat kerajaan negeri terjun lubang yang sama untuk kali kedua.
"Kami sedia bekerjasama dengan kerajaan Kelantan bagi membantu terlibat sama dalam proses perbincangan, merangka dan mendraf semula peruntukan undang-undang yang dibatalkan.
"Hal ini bagi memastikan ia selaras dengan kuasa negeri dari aspek kuasa menggubal dan selaras dengan Akta Mahkamah Syariah 1965 dari aspek pelaksanaan undang-undang ini kelak," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, UMNO sejak dari dahulu amat menyokong usaha mana-mana pihak untuk memartabatkan undang-undang syariah serta pelaksanaan hukum Islam.
Ujarnya, pelaksanaan itu selaras dengan tuntutan agama.
Nik Saiful memberitahu, pihaknya turut mengingatkan Pas supaya tidak menjadikan undang-undang ini sebagai alat politik untuk mengaut keuntungan.
Katanya, hal ini kerana ada yang sanggup mengeluarkan kenyataan mengelirukan umat Islam serta meletakkan enakmen ini yang asalnya hanyalah bertaraf hukum takzir sebagai hukum ALLAH sehingga rakyat terkeliru ianya dengan Hudud dan Qisas.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kerajaan Kelantan komited menggubal semula 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan Februari lalu.
Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, ketetapan itu selari dengan usul yang diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac lepas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!