SHAH ALAM - Sebarang tindakan dilakukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) adalah berpandukan akta, Perlembagaan serta panduan diberikan kerajaan, sekali gus menolak pandangan yang menyamakan dasar institusi pengajian tinggi (IPT) itu sebagai satu tindakan mendiskriminasikan kaum di negara ini.
Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) berkata, pandangan berkenaan bukan sahaja dangkal malah mempamerkan sikap tidak acuh dalam mendapatkan situasi sebenar polemik yang berlaku.
"Ini bukan soal UiTM mahu atau tidak mahu. Soal pokok adalah UiTM bertindak berpandukan Akta, Perlembagaan serta panduan yang diberikan oleh kerajaan.
"PAUiTM mewakili para Alumni UiTM sentiasa berpegang kepada asas penubuhan UiTM dan ia merupakan satu daripada keseimbangan sosial di dalam fabrik masyarakat di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kenyataan tersebut merujuk kepada pandangan dikemukakan seorang kolumnis yang mengaitkan UiTM dengan amalan sistem aparteid yang membawa maksud sistem diskriminasi secara ras dan pengasingan kaum.
Sehubungan itu, PAUiTM menyarankan agar kolumnis berkenaan belajar semula untuk memahami keseluruhan isu yang terjadi dengan mengambil kira Malaysia sebagai negara mempunyai kerukunan sosial yang sedia terbina dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
"Meskipun terguris dengan tulisan penulis, PAUiTM percaya bahawa rakan-rakan bangsa lain (kecuali penulis) faham akan erti perkongsian hidup bernegara pelbagai bangsa di Malaysia. Apatah lagi dengan peranan yang dimainkan oleh UiTM sejak penubuhannya pada 1956.
"Semoga penulis lebih rasional, berhati-hati dan beradab dalam penulisan. Jangan jadi seperti kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu. Kura-kura ini resminya lambat tetapi tidak malas," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!