TIADA kata dapat menggambarkan kegembiraan gandingan double sepak takraw Malaysia, Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin selepas berjaya menumbangkan Thailand dalam perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Rabu.
Kejayaan yang datang dengan usaha dan semangat luar biasa itu sememangnya sukar untuk diucapkan dengan kata-kata apatah lagi lawan yang ditumbangkan boleh dianggap sebagai raja sepak takraw dunia.
Bagi Noraizat, tekanan yang dihadapinya bersama Aidil Aiman ketika perlawanan akhir itu cukup tinggi, namun bersyukur dapat mengatasinya.
"Saya memang ingat ALLAH sahaja dalam gelanggang. Selawat tidak tinggal dan ALLAH tolong kami dalam gelanggang sehingga mata terakhir," katanya.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur itu, Noraizat dan Aidil Aiman menang 17-16, 15-13 untuk merangkul kejuaraan dunia pertama sejak Piala Dunia tersebut diperkenalkan pada 2011.
Dalam pada itu, Aidil Aiman menyifatkan kejayaan yang diraih itu membuktikan Malaysia boleh meraih kemenangan dengan Thailand walaupun sebelum ini badi tersebut sukar untuk dileraikan.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong pasukan negara. Saya dengan Aizat dah buktikan kita boleh menang dengan Thailand," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!