SIK - Rasa sayang dan cintakan seni warisan mendorong seorang penoreh getah dari Kampung Lubuk Tualang di sini masih memelihara rangka wau helang milik arwah bapa yang berusia lebih setengah abad.
Mohamad Wahab, 38, berkata, arwah bapanya, Wahab Itam sangat menitik beratkan penjagaan wau berkenaan yang dianggap unik serta antara wau terbaik yang pernah dimiliki sepanjang hayatnya.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Che Mat berkata, sejak kematian bapa pada 2007, dia tidak pernah menerbangkan wau berkenaan kerana bimbang keadaan fizikalnya.
Jelasnya, wau berkenaan pernah digunakan untuk bertanding ke beberapa negeri termasuk Kelantan sebelum diserahkan kepada bapanya pada awal tahun 80-an.
"Wau ini dihasilkan oleh pakar pembuat wau yang dikenali sebagai Pakwa Che Wali, dulu ramai orang belajar daripadanya untuk membuat pelbagai jenis wau.
"Rangka wau ini diperbuat daripada buluh hutan yang membuatkan sifatnya lebih tahan lasak dan kukuh, bagaimanapun untuk menjaganya perlu menyapu minyak dan melayur api bagi memastikan ia tidak 'ditebuk' serangga," katanya.
Che Mat berkata, panjang rangka wau pada bahagian sayap kira-kira dua meter dibuat dengan saiz besar untuk memberi kepuasan kepada pemain.
"Perbezaan wau dulu diraut dengan teliti bagi memastikan keseimbangan apabila diterbangkan, dalam bahasa wau kita akan kata wau ini lebih jinak apabila dimainkan.
"Bunyi wau ini juga lebih nyaring apabila diterbangkan, ia berbeza dengan pembuat wau yang kurang mahir, wau akan nampak lebih 'liar' dan bunyinya juga lain apabila diterbangkan," katanya.
Selain itu, Abdul Wahab Che Amin, 58, berkata, pernah menjadi saksi penyerahan wau berkenaan kepada bapa Che Mat yang juga gemar bermain dan aktif menyertai pertandingan wau sekitar tahun 80 dan 90-an.
Abdul Wahab juga merupakan anak murid Pakwa Che Wali menjelaskan, banyak menghabiskan masa lapang pada waktu remaja untuk belajar membuat dan bermain wau.
"Usaha penyimpanan ini sangat baik sebagai panduan dan tatapan generasi akan datang," katanya.