PADA Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel dengan permulaan di Semenanjung Malaysia tanpa melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak.
Bagi membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan, kerajaan akan menyediakan subsidi diesel kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial bermotor diesel merangkumi 10 jenis pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan penghantaran barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Ia termasuk pengusaha bas dan teksi serta kerajaan juga akan meneruskan pemberian subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu.
Bagaimanapun, bagi memelihara kebajikan rakyat dalam menangani kos sara hidup, kerajaan juga menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.
Penyasaran subsidi itu tidak membabitkan golongan T20 serta 3.8 juta warga asing.
Melalui usaha penyasaran subsidi tersebut, jumlah penjimatan kepada kerajaan adalah dijangka secara kasar sekitar RM4 bilion setahun.
SOKONG
APA SAHAJA UNTUK RAKYAT, IA LANGKAH TERBAIK
PADA pendapat saya, apa sahaja kaedah dilakukan kerajaan bagi memberikan manfaat kepada rakyat merupakan langkah terbaik.
Lagipun hasil penjimatan ini akan dipulangkan kembali kepada rakyat melalui peningkatan jumlah bantuan dan pembangunan.
Seperti penyasaran subsidi elektrik yang dilakukan kerajaan pada tahun lepas yang dilaporkan media, hasil penjimatan tersebut disalurkan melalui bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM10 bilion.
Selain itu, pelaksanaan penyasaran subsidi ke atas bahan api boleh mengawal ketirisan subsidi yang sering berlaku.
Setiap tahun jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan semakin meningkat dan ketirisan turut melonjak.
SKDS kini telah ditambah baik melalui pendigitalan, ini bermakna setelah diapungkan mereka yang berdaftar sahaja boleh menikmati subsidi diesel.
Apabila kerajaan melancarkan Pangkalan Data Utama (PADU) pada 2 Januari lepas ia sebenar satu langkah bijak yang sepatutnya disambut baik oleh setiap masyarakat.
Menerusi maklumat yang didaftar dalam sistem PADU, kerajaan dapat mengenalpasti hanya mereka yang layak sahaja yang berhak mendapat manfaat dan bantuan kerajaan serta subsidi.
Justeru isu ketirisan terutama yang mengalir kepada warga asing atau golongan T20 dapat diatasi.
Pada masa yang sama, hasil penjimatan dapat dialih untuk meningkatkan peruntukan bagi sektor-sektor penting negara seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur dan sebagainya.
- Pekerja swasta, Faez Badrul, 33
PASTIKAN PENJIMATAN DIGUNAKAN UNTUK RAKYAT
SAYA bersetuju tetapi kerajaan perlu memastikan penjimatan kerajaan secara kasar sekitar RM4 bilion setahun itu betul-betul digunakan untuk kos perbelanjaan rakyat yang lain.
Penjimatan itu perlu disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan mereka yang tidak patut dapat, dikecualikan.
Cara yang paling berkesan dalam melaksanakan subsidi bersasar adalah di dalam bentuk pemberian tunai kepada golongan rentan.
Cuma saya rasa, cabaran utama kerajaan untuk mengenal pasti golongan tersebut. Buat masa sekarang, kerajaan boleh menggunakan maklumat sedia ada berdasarkan penerima bantuan tunai STR.
Namun, pada masa sama mekanisme saringan kelayakan juga perlu diperbaiki dari semasa ke semasa untuk meminimumkan ralat kemasukan dan pengecualian.
Ia diharap lebih menyeluruh bagi memastikan sampai kepada golongan sasar dan tiada yang tercicir atau berlaku ketirisan dalam agihan berkenaan.
Selain itu, kerajaan harus memberi penjelasan yang tepat dan betul bagi rakyat memahami bagaimana hendak melaksanakan subsidi bersasar.
Apa yang lebih penting, kerajaan harus memastikan bahawa subsidi bersasar yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia dapat membantu dan memberi manfaat kepada semua rakyat serta harga petrol dikawal ketat supaya tidak memberi beban kepada rakyat.
- Penulis, Daniel Shankar, 21
BANGKANG
HARGA BARANG DIJANGKA NAIK
BAGI saya, apa yang paling merisaukan adalah harga barangan yang akan naik apabila subsidi diesel ditarik.
Ini kita tidak nafikan akan berlaku tekanan inflasi tetapi kesannya akan diminimumkan dengan kenderaan perniagaan dan pengangkutan yang masih mendapat subsidi diesel.
Saya risau akan ada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk bertindak menaikkan harga produk mahupun barangan.
Seperti sebelum ini kerajaan menghentikan subsidi minyak masak yang telah menyebabkan penjual makanan mula mengecilkan saiz hidangan mereka.
Apabila kos sara hidup meningkat, negara turut berdepan peningkatan kes kecurian dan bunuh diri. Lebih ramai orang berkemungkinan akan mengalami masalah mental disebabkan tekanan.
Kerajaan perlu merancang program subsidi bersasar dengan sebaiknya agar tidak ada golongan yang tertindas dan dipinggir.
Lagi membimbangkan, ia akan menjadi penyebab penyeludup diesel mengganas dengan membeli semua bahan api itu di stesen minyak dan menyebabkan bekalannya habis sebelum tarikh subsidi dilaksana.
Sama di Sabah dan Sarawak yang dikecualikan buat sementara waktu, penguatkuasaan perlu lebih diperketatkan kerana aktiviti penyeludupan diesel mungkin akan bertambah rancak di sana.
- Bekerja sendiri, Nurul Ihsani Abd Ghani, 30
T20 JUGA PEMBAYAR CUKAI PATUT DAPAT SUBSIDI
SUBSIDI yang disediakan oleh pihak kerajaan ini wajar dimanfaatkan oleh kumpulan berpendapatan tinggi kerana mereka juga merupakan pembayar cukai.
Apabila dinafikan hak berkongsi kekayaan negara, seolah-olah mereka dihukum dua kali.
Pengelasan T20 itu sendiri juga hanya mengambil kira pendapatan bulanan dan bukannya melihat kepada jumlah tanggungan.
Golongan paling terbesar akan terjejas dan terkesan apabila kaedah itu dilaksanakan adalah mereka yang sekadar melepasi sedikit had T20.
Bagaimanapun menyentuh isu subsidi yang dinikmati warga asing di negara ini, itu memang tidak adil buat kita.
Selain daripada subsidi, mereka juga turut menggunakan kemudahan lain yang disediakan kerajaan untuk rakyat.
Ketirisan subsidi kepada golongan itu dan beban kewangan serta sosial yang terpaksa ditanggung kerajaan merupakan satu kerugian yang besar kepada negara.
Perancangan, perencanaan dan pelaksanaan harus lebih menyeluruh dan jitu.
- Peniaga, Mariam Md Saad, 43
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!