KLANG - Mahkamah Tinggi di sini pada Mac lalu, menjatuhi seorang bekas sukarelawan, hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh seorang kanak-kanak perempuan, berusia empat tahun, yang berada bawah jagaannya, pada 2019 lalu.
Hakim, Norliza Othman memutuskan demikian selepas Mohd Sazry Mohd Taha, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Menerusi keputusan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem mahkamah Selasa lalu, hakim ini berkata, mahkamah mendapati hukuman penjara dari tarikh tangkap, 1 Oktober 2019 dan sebatan bagi menggantikan hukuman gantung sampai mati, ialah wajar dan adil.
"Tertuduh tidak menunjukkan belas kasihan dan kasih sayang yang sewajarnya diberi kepada seorang kanak-kanak sekecil itu.
"Semestinya mangsa tidak berdaya untuk menahan seksaan fizikal, hingga menyebabkan dia kehilangan nyawa di tangan lelaki ini," katanya.
Beliau berkata, hukuman setimpal harus diberi, bukan sekadar memenuhi keinginan akta.
Sebaliknya hakim ini berkata, hukuman diberi demi kepentingan awam, iaitu hukuman berat sebagai indikasi yang jelas, bahawa kesalahan sebegini, amat serius.
Mengikut pertuduhan, Mohd Sazry didakwa menyebabkan kematian Zahira Sofia Ahmad Mu’iiz, 4, di Kampung Sungai Udang, antara jam 1 tengah hari pada 28 September 2019 hingga waktu sama keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung, jika disabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes pendakwaan, hasil pemeriksaan pakar forensik mendapati, bahagian luar badan kanak-kanak ini, mempunyai banyak kesan lebam, menunjukkan simati mengalami kecederaan pada waktu-waktu yang berlainan.
Pakar forensik, Dr Kartini Md Ariff dalam laporannya, tidak menolak kemungkinan si mati telah didera dengan ditampar, disepak, digoncang dengan kuat atau dihentak pada permukaan objek tumpul yang keras, yang mana waktu kejadian, dia berada dalam pemeliharaan dan jagaan tertuduh.
Berdasarkan rayuan, lelaki itu menyatakan, semasa kejadian dia berusia 36 tahun, telah mengenali seorang wanita melalui suatu aplikasi sosial,
Wanita itu meminta menjaga empat orang anaknya dan pada masa sama, tertuduh yang menetap bersama kekasihnya, menjaga dua kanak-kanak lain, menjadikan kesemuanya enam orang kanak-kanak tinggal di rumah lelaki terbabit.
Bagaimanapun, di mahkamah, dia mengaku kesal dengan tindakannya dan mohon diberi peluang kedua kerana telah dipenjara lebih empat tahun, sementara menunggu prosiding kes ini selesai.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!