SKUAD sepak takraw negara diingatkan supaya tidak terbuai dengan kejayaan awal menjuarai acara double dan regu divisyen premier semalam, sebaliknya fokus untuk melakar sejarah menjulang Piala Dunia Sepak Takraw acara berpasukan yang membuka tirai hari ini.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, detik indah kejuaraan berganda dilakar skuad negara malam tadi perlu ‘dilupakan’ seketika dalam usaha melengkapkan sasaran utama skuad negara.
"Syukur dapat dua kejuaraan yang kita tak pernah mimpi sebelum ini. Kita (PSM) sasar sekurang-kurangnya dalam final satu kejuaraan namun kini saya merasakan tidak mustahil untuk skuad negara dapatkan hatrik.
"Saya ingatkan pemain supaya jangan khayal dan terbuai dengan kejayaan itu kerana kita ada misi besar iaitu muncul juara Piala Dunia acara berpasukan," katanya.
Mohd Sumali optimis skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun mampu memahat satu lagi sejarah penting berdasarkan prestasi konsisten dipamerkan pada edisi keempat kejohanan Piala Dunia itu apatah lagi setelah berjaya memecahkan dominasi gergasi sepak takraw iaitu Thailand.
"Ia tidak mustahil dan buktinya kita mampu tundukkan Thailand dengan prestasi tinggi serta keyakinan pemain selain sokongan peminat," katanya.
Semalam, skuad negara mencipta sejarah tersendiri apabila menumbangkan Thailand untuk muncul juara acara double dan regu.
Gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin cemerlang mengatasi Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut 17-16, 15-13 pada aksi final acara double, manakala Farhan Adam, Mohammad Syahir Mhd Rosdi dan Mohamad Azlan Alias menewaskan musuh tradisi yang juga juara bertahan itu 15-8,15-12.
Malaysia membuka tirai saingan acara berpasukan menentang Brunei pada aksi pertama Kumpulan C, hari ini. - Bernama