MANILA - Filipina mengekalkan amaran pada tahap kedua tertinggi untuk Taal selepas gunung berapi itu terus meletus dan menyebabkan gempa bumi sejak ia memuntahkan debu panas minggu lalu.
Menurut pejabat pengurusan risiko bencana kebangsaan wilayah Batangas, lebih 162,000 penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan tinggal di 475 pusat pemindahan.
Iklan
Iklan
"Aktiviti di kawah utama dalam tempoh 24 jam lalu telah dikategorikan sebagai pembebasan wap dan letusan lemah yang menyebabkan debu dibebaskan ke udara setinggi 500 meter hingga satu kilometer (km).
ARTIKEL BERKAITAN: Tasik kelilingi kawah gunung berapi Taal 'hilang'
"Sebanyak 175 gempa bumi dicatat dalam tempoh tersebut sehingga jam 5 pagi (waktu tempatan) dan peningkatan aktiviti seismik boleh membawa kepada letusan lain," kata Institut Gunung Berapi dan Seismologi Filipina (PHIVOLCS) dalam laporan pada jam 8 pagi hari ini.
Aktiviti di gunung berapi yang terletak kira-kira 65km dari Manila meningkat minggu lalu dan tahap amaran semasa menunjukkan letusan berbahaya mungkin berlaku dalam beberapa jam atau hari. - Agensi