Manipulasi keadaan naikkan harga barang

Iklan
Syed Abu Hussin (dua dari kiri) bertemu peniaga ketika meninjau Pasar Pagi Taman Kaya pada Khamis.

TAIPING - Tindakan pihak tertentu memanipulasi keadaan tertentu termasuk pengumuman kerajaan mengenai subsidi bersasar menyebabkan harga barangan meningkat.

Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal berkata, penyasaran subsidi minyak diesel yang dilakukan kerajaan sebenarnya tidak memberikan kesan terus kepada kos operasi barangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyasaran subsidi itu bertujuan menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang selama ini dibazirkan akibat ketirisan dan bukan penarikan balik subsidi.

"Maknanya ia (penyasaran subsidi) tak ada kesan terus kepada kos. Ini kadang-kadang manipulasi menyebabkan kos meningkat dengan alasan kata subsidi ditarik, tetapi sebenarnya tidak," katanya kepada pemberita ketika meninjau Pasar Pagi Taman Kaya dekat sini pada Khamis.

Iklan

Syed Abu Hussin yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam pada itu menyambut baik pengumuman perdana menteri itu dan berharap subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan akan berjaya mengurangkan ketirisan.

Pada Selasa, Anwar dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan mengumumkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel yang berupaya menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM4 bilion setahun.

Iklan

Sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

Pengumuman tersebut turut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang menyambut baik pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api tersebut.

Dalam pada itu, menerusi laporan Sinar Harian pada Khamis, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyuarakan kebimbangan pengumuman kerajaan itu akan mendorong peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga jualan atau perkhidmatan.

Sehubungan itu Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah berharap Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dapat meningkatkan penguatkuasaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!