LAS VEGAS - Aksi bintang UFC, Conor McGregor kembali ke Octagon untuk membuat perhitungan bersama Donald Cerrone yang lebih dikenali sebagai ‘cowboy’ menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun kini tular di media sosial apabila McGregor mengambil masa 40 saat sahaja untuk menewaskan musuhnya yang berasal dari Amerika Syarikat.
Menerusi perlawanan berkenaan, Cerrone tewas dengan peraturan TKO dan McGregor yang merupakan anak kelahiran Republik Ireland hanya mengambil satu sepakan dan tumbukan bertubi-bumi sekali gus memenangi perlawanan tersebut.
Aksi mengagumkan itu turut dikongsi oleh Perbadanan Penyiaran British (BBC) Sport melalui Twitternya yang memberitahu, walaupun perlawanan tersebut hanya bertahan 40 saat tetapi ahli tinju itu turut menerima wang kemenangan sebanyak £80 Juta (RM422 juta) secara keseluruhan.
Perkongsian oleh BBC Sport kini meraih 3,100 tanda suka dan netizen menyifatkan McGregor sudah berubah ke arah yang lebih positif dan kurang kontroversi selepas tewas di tangan Khabib Nurmagomedov pada 2018.
"McGregor dilihat sudah nampak lebih matang dan tidak lagi melakukan provokasi terhadap lawannya selepas dia berlawan dengan Khabib. Tahniah Khabib atas kemenangan anda, hanya dengan 40 saat boleh menang beratus-ratus juta,” tulis @Zack76 di Twitter.
MontanaHana pula memberitahu,"Aksi yang dilakukan McGregor amat mengagumkan kerana dia mampu mengalahkan lawannya di bawah 1 minit. Memang kagum dengan McGregor dan saya melihatkan dirinya banyak berubah selepas kalah dengan Khabib."