PARIT - Penduduk terpaksa meredah arus deras untuk menyelamatkan diri selepas kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Kampung Serapoh dekat sini pada malam Rabu.
Menurut Roziah Sudar, 66, dia terpaksa berpaut pada dua anaknya ke tempat tinggi selepas diarahkan oleh pasukan penyelamat untuk berpindah apabila paras air mencapai satu meter.
Tambahnya, kejadian banjir itu disifatkan sebagai terburuk pernah berlaku dalam tempoh 10 tahun.
"Kawasan ini memang selalu banjir tetapi hanya paras 0.3 meter sahaja. Jadi bila hujan semalam kami hanya meletakkan barang-barang seperti bantal, tilam dan barangan elektrik ke tempat tinggi.
"Dalam jam 10 malam itu, polis minta penduduk pindah dan waktu itu arus air mula deras, saya dan suami terpaksa harung sambil dibantu anak-anak," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Roziah berkata, dia bagaimanapun tidak dapat menahan air mata apabila melihat kesemua peralatan dan kelengkapan rumah musnah.
"Semua barangan musnah dan tiada satu pun pakaian yang tinggal untuk dipakai. Hanya ubat dan dokumen penting sahaja dapat diselamatkan," katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Norlizah Sudar, 50, pula mengalami kerugian lebih RM20,000 apabila bengkel tempat dia mengusahakan sambal pecal ditenggelami air.
"Bengkel ini diusahakan sejak 2017 dengan bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
"Mesin pengisar, mesin tumbuk dan bahan-bahan mentah semua kena air. Semua peket sambal pecal yang terapung dalam banjir akan dimusnahkan," katanya.
Tambahnya, jualan sambal pecalnya itu melibatkan lebih 150 ejen di seluruh negara terpaksa dihentikan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Simpang 3, Mohd Yusoff Yahaya berkata, trend air mula surut dan hanya ada beberapa rumah yang masih digenangi air di pekarangan rumah mereka.
"Seramai 209 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Simpang 3 setakat ini.
"Setakat ini, ada sukarelawan yang hadir bantu bersihkan masjid yang terjejas. Bantuan diperlukan untuk bersihkan sekolah agama berhampiran dan dewan orang ramai," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!