HANGAT mengenai isu ‘speed dating’ yang mendapat perhatian dan pendapat orang ramai termasuklah pandangan mufti dan tokoh agama baru-baru ini.
Terbaharu, pendakwah selebriti, Ustaz Don Danial Don Biyajid menyeru jabatan agama untuk mengeluarkan garis panduan ‘dating’ atau mencari jodoh yang dibenarkan dalam Islam.
Beliau yang mesra disapa dengan panggilan Ustaz Don menjelaskan, Islam bukan agama yang mengongkong umatnya tanpa sebarang alasan munasabah namun ia menyekat perkara-perkara yang boleh merosakkan generasi.
"Islam tak kongkong kita pakai baju macam mana, asalkan menutup aurat. Islam juga tak pernah halang untuk bekerjaya, tak semua orang perlu menjadi ustaz.
"Tetapi Islam adalah agama yang ada undang-undang. Bila bercerita pasal ‘speed dating’, ada tak (pasangan itu) melakukan benda yang Islam larang?
Tambahnya lagi, ‘speed dating’ merupakan salah satu metodologi untuk mencari jodoh apatah lagi zaman sekarang susah untuk mendapatkan pasangan.
"Kita sejak dari kecil bersekolah di sekolah campur (lelaki dan perempuan), kita kena faham suasana itu. Bukan membenarkan ikhtilat atau pergaulan. Pergaulan antara lelaki dan perempuan itu berlaku secara normal di keliling kita tanpa berbuat dosa.
Beliau turut membaca firman ALLAH SWT dalam ayat ke-30 Surah al-Israk:
"Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam). (Sesuai) fitrah ALLAH disebabkan DIA telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan ALLAH. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Menurut Ustaz Don lagi, apa sahaja perbuatan yang ingin dilakukan, perlu meletakkan Islam dan undang-undang terlebih dahulu.
"Cara dia susun satu-satu. Boleh tak lelaki dan perempuan bersembang? Hukumnya boleh terutamanya bab hendak mencari jodoh. Apakah tempat itu tertutup atau restoran (terbuka)? Kalau umum (restoran terbuka) boleh.