GAZA CITY - Hospital Al-Awda di Jabalia di utara Semenanjung Gaza pada Khamis melaporkan bahawa tentera Israel menyerbu hospital tersebut dan memaksa kakitangan perubatannya meninggalkan premis selepas empat hari dikepung, menurut laporan Anadolu Agency (AA).
Dalam satu kenyataan, pihak hospital menyatakan kakitangan perubatan dipaksa meninggalkan premis ke arah barat Bandar Gaza selepas seorang daripada kakitangan perubatan ditangkap oleh tentera Israel.
Kenyataan itu menambah bahawa 14 kakitangan perubatan masih berada di hospital, bersama 11 orang yang cedera dan pengiring mereka yang tidak dapat meninggalkan hospital tanpa ambulans.
Pada Rabu, Pejabat Media Kerajaan di Gaza menyatakan sektor kesihatan di utara Gaza telah lumpuh sepenuhnya disebabkan oleh Israel yang sengaja menyasarkan kemudahan kesihatan itu sejak 7 Oktober.
Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza sejak serangan pada 7 Oktober 2023 oleh kumpulan Palestin Hamas.
Lebih 35,700 rakyat Palestin telah terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan hampir 80,000 lagi cedera.
Lapan bulan selepas perang Israel, sebahagian besar infrastruktur rosak atau musnah di Gaza selain menghadapi kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang berlarutan.
Israel dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Mahkamah juga mengarahkan Israel mengambil langkah untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan di kawasan Palestin yang terkepung. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!