TOKYO - Hujung sayap dua pesawat penumpang Japan Airlines (JAL) berlanggar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada pagi Khamis, lapor media tempatan seperti yang dipetik oleh Xinhua.
JAL menyatakan kejadian berlaku sekitar jam 7.30 pagi waktu tempatan. Kedua-dua pesawat mengalami kerosakan, tetapi tiada kecederaan dilaporkan, menurut penyiar awam NHK.
Penerbangan JAL 503, yang menuju ke Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido, sedang berundur dari tempat parkirnya apabila ia melanggar sebuah pesawat yang sedang bergerak ke tempat parkir bersebelahan.
Terdapat 328 orang di dalam Penerbangan 503, yang dibatalkan manakala pesawat yang satu lagi tidak mempunyai penumpang dan penerbangannya ditunda untuk menukar pesawat, menurut laporan tersebut.
Insiden ini adalah yang terkini dalam siri perlanggaran di lapangan terbang baru-baru ini.
Pada 2 Januari, sebuah jet penumpang JAL bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun di Lapangan Terbang Haneda, menyebabkan lima daripada enam kru pesawat Pengawal Pantai terkorban.
Pada 16 Januari, pesawat Korean Air melanggar pesawat Cathay Pacific yang diparkir di Lapangan Terbang New Chitose dan pada 1 Februari, dua jet penumpang All Nippon Airways berlanggar sayap di sebuah lapangan terbang di Osaka. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!