PUTRAJAYA - Banyak negara menyatakan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pengajian tinggi, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry berkata, perkara itu disuarakan oleh beberapa wakil negara asing selepas mengadakan mesyuarat dua hala antaranya dari Tajikistan, Azerbaijan, Jepun, Microsoft dan Konsortium Universiti United Kingdom-Malaysia (UK-MUC), ketika berada di The Education World Forum (EWF) di London, United Kingdom, baru-baru ini.
"Pada masa sama, program pertukaran pelajar akan diteruskan dan jumlah pelajar Tajikistan kini lebih 200 orang di Malaysia," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Zambry berkata, perjumpaan bersama dengan Menteri Pendidikan Azerbaijan, Emin Amrullayev membincangkan mengenai kerjasama yang dapat dibentuk antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, Emin memaklumkan bahawa Azerbaijan sangat berharap untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan bagi menghantar lebih ramai pelajarnya menyambung pengajian.
"Azerbaijan juga dalam usaha membangunkan semula pendidikan tinggi di kawasan Karabakh dan mereka turut menyatakan harapan sekiranya Malaysia dapat membantu dan berkolaborasi dalam hal ini," katanya.
Selain itu, Zambry berkata, lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara Asia Tengah juga telah membuka ruang untuk negara-negara lain di sekitar bekerjasama dengan Malaysia menerusi pelbagai bidang bersandarkan keyakinan dan kualiti yang dibawa oleh delegasi kerajaan Malaysia.
"Dalam pertemuan saya dengan Timbalan Menteri Pendidikan, Budaya, Sukan, Sains dan Teknologi Jepun, Akio Fujiwara, beliau menyatakan kesediaan negara itu untuk berkongsi pengalaman dalam perihal Programme for International Student Assessment (PISA).
"Kami juga berbincang untuk melihat dan memartabatkan semula kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan kolaborasi antara institusi Malaysia dan Jepun," katanya.
Zambry berkata, pertemuan dengan pihak Microsoft pula menjurus kepada bidang kecerdasan buatan (AI), dengan peluncuran Malaysia AI Nexus telah mendorong Microsoft untuk terus bekerjasama secara aktif dengan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan Tinggi.
Seterusnya, beliau berkata, kerjasama pendidikan antara United Kingdom dan Malaysia terus diperkukuh melalui Konsortium Universiti UK-Malaysia (UK-MUC) dengan pelbagai program peringkat tinggi terus direncanakan.
"EWF sememangnya mengumpulkan ramai menteri pendidikan dan pendidikan tinggi yang membolehkan perkongsian antara negara bagi menjadikan pendidikan sebagai wadah utama untuk pembangunan masyarakat dan negara.
"Pengantarabangsaan Malaysia dalam pendidikan tinggi di peringkat global ini semakin mendapat perhatian dari negara lain dan akan terus diperkasakan," katanya.
- Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!