MAKKAH - Juara qari antarabangsa Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir bersyukur dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.
Muhammad Qayyim pernah muncul juara bagi kategori lelaki pada Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-63 pada Ogos tahun lalu.
Menurutnya, setakat ini semua perjalanan bersama kedua ibu bapanya sejak dari tarikh penerbangan sehingga tiba di Madinah dan Makkah berjalan lancar.
"Hari Keberangkatan dari Kelantan ke KLIA lancar dan begitu juga KLIA sampai ke Madinah. Sampai Madinah rasa syukur dan gembira dapat merasai suasana Madinah.
"Saya dapat masuk Raudah dua kali dan ziarah Rasulullah empat kali,” katanya kepada petugas media.
Ketika ditanya mengenai apakah ibadah yang dirasakan mencabar, Muhammad Qayyim berkata, ibadah menlontar mungkin mencabar baginya kerana tidak dapat gambaran lokasi.
"Kalau ada cabaran pun mungkin adalah pada masa melontar jamrah sebab tak tahu tempat dan jarak. Saya juga takut kalau lempar nanti terkena orang lain.
"Tetapi untuk tawaf dan saie mungkin tiada masalah insya-ALLAH. Ayah akan bimbing dan bawa serapat yang boleh dengan dinding,” katanya.
Beliau yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz dan Pengurusan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri, Kelantan itu berangkat ke Tanah Suci dengan ditemani ayah Sarimi Yusof, 59, dan ibunya Rozan Mohamed, 51.
Muhammad Qayyim yang pernah menjadi juara qari empat kali peringkat negeri Kelantan dan Kebangsaan iaitu 2012, 2017, 2020 dan 2023 berkata, semasa kecil beliau berminat melihat tengok siaran langsung di televisyen tentang keadaan di Makkah (Masjidil Haram) dan Madinah (Masjid Nabawi).
Hal itu menjadikan pemuda yang menguasai 7 jenis Taranum iaitu Baiyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah itu menanam cita-cita untuk menjejakkan di tanah suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
Sementara itu, Sarimi berkata memang sejak Kecil lagi beliau membuka akaun Tabung Haji untuk anak sulungnya serta lima lagi anaknya yang lain.
"Kami memang membuat tabungan untuknya sejak kecil termasuk wang yang dimenangi dalam pertandingan-pertandingan musabaqah dan infaq," katanya yang yakin anaknya mampu menunaikan ibadah haji ini dengan baik berdasarkan pengalaman menunaikan umrah sebanyak dua kali sebelum ini.
Ibunya, Rozan Mohamed berkata, Muhammad Qayyim tidak susah untuk dibesarkan hanya perlu menjaga soal pemakanan dan pakaian sahaja.
"Cabaran hanya dalam soal pemakanan pakaian sahaja, tidak susah untuk besarkan. Macam ketika duduk asrama, pakaian kena sedia,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!