Baru-baru ini tular satu video pergaduhan antara dua pasukan bola sepak peringkat sekolah. Keadaan jadi kecoh selepas seorang pelajar lelaki dikatakan memukul pengadil perlawanan.
Insiden itu tambah tegang apabila pengadil pula membalas pukulan tersebut. Maka, berlakulah adegan tidak sepatutnya, dengan penonton dalam kalangan ibu bapa pun masuk campur.
Ramai yang kecam insiden itu kerana ia melibatkan pelajar sekolah. Kalau pun pengadil itu bersalah, tidak sepatutnya anak muda yang masih bergelar pelajar bertindak memukul orang lebih tua. Ada cara lain lagi untuk selesaikan masalah.
Malah, ia juga tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi dipertontonkan kepada pelajar lain dan ibu bapa yang datang untuk memberikan sokongan buat anak-anak mereka.
Baru main bola peringkat sekolah dah pandai serang pengadil, bayangkan jika mereka wakil negeri atau negara. Muda-muda lagi dah baran tak bertempat. Ke mana hilangnya rasa hormat yang diajar selama ini?
Sebenarnya kejadian itu hanya sebahagian kecil daripada sekian banyak contoh pelajar kita yang semakin hilang adab, hilang sabar, hilang budi pekerti dan rasa diri sendiri sentiasa betul.
Tak guna jika belajar tinggi-tinggi tapi tak datang bersama pakej insan yang beradab dan berbudi pekerti.
Merak Jalanan masih ingat lagi zaman sekolah dahulu, paling takut dengan guru terutama guru disiplin. Kalau buat salah kena rotan. Bukan mak ayah nak kasihan pun, malah suruh cikgu tambah hukuman. Biasanya Merak Jalanan simpan sendiri sahaja kalau kena rotan di sekolah.
Zaman sekarang dah terbalik. Cikgu ‘sentuh’ sikit pelajar yang memang dah terang-terang buat salah, ibu bapa pula datang serang sekolah, buat laporan polis. Silap-silap cikgu dan pihak sekolah pula yang kena saman.
Kalau beginilah keadaannya, maka tak hairanlah kita akan terus melahirkan generasi yang adabnya makin terhakis dan budinya makin terkikis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!