SHAH ALAM - Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) mencadangkan agar pengguna dadah diberi pilihan alternatif untuk memilih kaedah pendekatan rawatan dan pemulihan yang sesuai supaya prosedur tersebut dapat berlangsung secara adil tanpa paksaan.
Presidennya, Hafizi Harun berkata, ia berikutan kes-kes melibatkan dadah tersebut akan diuruskan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tidak memasukkan golongan tersebut ke dalam penjara.
"Rawatan tersebut biarlah bersifat adil dan ada banyak pilihan supaya mereka ini tidak dipaksa secara mandatori untuk jangka masa tertentu.
"Bukan semua penagih dadah perlu dikurung atau dimasukkan ke dalam pusat pemulihan kerana tahap ketagihan mereka berbeza,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Hafizi turut menjelaskan bahawa kaedah untuk menentukan seseorang itu ialah penagih dadah bukan berpandukan ujian saringan air kencing semata-mata.
Katanya lagi, tahap keparahan penggunaan dadah bagi individu terbabit boleh menggunakan cara lain seperti temu duga klinikal atau alat ujian berasaskan bahan bukti.
"Kaedah itu bagi menentukan tahap keparahan mereka ini menggunakan dadah bersifat rekreasi atau sosial iaitu baru mencuba.
"Hasil ujian tersebut barulah boleh menentukan kaedah rawatan atau pemulihan yang bersesuaian dengan keparahan masing-masing,” tambahnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!