SHAH ALAM - Sesi perkelahan seorang wanita bersama rakan-rakannya diakhiri dengan peristiwa melucukan apabila menerima kehadiran 'tetamu bebulu' yang tidak diundang menjamah makanan dibawa mereka.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di salah sebuah tempat rekreasi di Perlis iaitu Bukit Cabang.
Ainun Izzatye Adnan, 27, berkata, dia dan rakan-rakan mengadakan perkelahan setelah lama tidak berjumpa.
"Kami buat keputusan untuk berkelah di Bukit Cabang kerana tempatnya cantik. Ketika kami sampai, banyak kambing di kawasan tersebut namun tidak menyangka salah satu daripada haiwan itu akan datang dan makan makanan kami.
Tambah Ainun Izzatye, orang ramai yang berada di kawasan tersebut turut ketawa melihat gelagat kami didatangi seekor kambing.
"Bila lihat balik video itu sangat kelakar dan pada masa sama saya ingin ucapkan terima kasih kepada seorang lelaki yang bertindak menghalau kambing tersebut.
"Nak halau risau kambing itu akan bertindak agresif tetapi alhamdulillah dia hanya makan makanan di atas meja. Rancangnya mahu bawa balik makanan lebih tetapi terpaksa dibuang," ujarnya.
Video berdurasi 15 saat itu memperlihatkan seekor kambing sedang menikmati makanan yang terhidang di atas meja.
Pengalaman yang dikongsi Ainun Izzatye menerusi video di aplikasi TikTok itu mendapat lebih 10,000 tanda suka dan 314 komen daripada netizen.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!