MTHQK 2024 bukti komitmen kerajaan terapkan budaya membaca al-Quran

Iklan
Wan Rosdy berucap sempena Perasmian Pembukaan MTHQK Tahun 1445H/2024M di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah pada Khamis.

KUANTAN - Penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1445H/2024 menggambarkan komitmen kerajaan dalam menerapkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, al-Quran merupakan kitab suci paling agung yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW dan terus diwarisi sebagai panduan menyeluruh kepada umat Islam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, intipati al-Quran perlu difahami dan diaplikasikan dalam amalan kehidupan seharian.

"Di sebalik ayat-ayat suci al-Quran terkandung pengajaran dan ilmu yang menjadi khazanah bernilai untuk masyarakat sejagat khususnya untuk umat Islam mencapai kejayaan.

Iklan

"Dalam usaha mencapai negara yang diberkati, setiap peringkat masyarakat perlu memainkan peranan bermula daripada institusi kekeluargaan iaitu ibu bapa perlu menjadi pendidik terawal untuk anak-anak terutama di dalam pengajian agama Islam dan al-Quran.

"Seterusnya sistem pendidikan Islam di negara ini yang menekankan kepada pembangunan insaniah dan pembentukan generasi berteraskan kepada penghayatan al-Quran selaras dengan tuntutan agama," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Perasmian Pembukaan MTHQK Tahun 1445H/2024M yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.

Majlis yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Wan Rosdy berkata, al-Quran turut menekankan umat Islam agar menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis dan menggunakan akal yang dikurniakan ALLAH SWT untuk dimanfaatkan.

"Al-Quran sumber intelektual dan spiritual Islam yang merupakan asas bagi agama, kerohanian dan semua cabang ilmu pengetahuan termasuk teknologi.

"Al-Quran dan teknologi tidak dapat dipisahkan kerana ia adalah wahyu ALLAH SWT yang diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil manakala teknologi ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia," ujarnya.

Tambah Wan Rosdy, gabungan al-Quran dan teknologi dapat memperkuat dan memperjelas sesuatu fakta dengan merujuk kepada hadis nabi, mazhab-mazhab, para sarjana, saintis Islam dan bukan Islam.

"Marilah kita ambil sebanyak mungkin iktibar di dalam al-Quran dan amalkan nilai-nilai murni seperti rajin bekerja, amanah, tekun, cintakan kebersihan dan sayangi negara juga perlu diamalkan kerana ianya juga turut dianjurkan dalam kitab suci itu.

"Nilai-nilai inilah yang perlu kita sematkan di dalam diri dan jiwa anak-anak kita sejak dari kecil lagi," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!