PERSOALAN berkaitan anak tak sah taraf hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini apabila seorang artis mendedahkan bahawa ibu bapanya tidak pernah berkahwin sebelum ini.
Apakah yang dimaksudkan dengan anak tak sah taraf? Apakah implikasi status anak tak sah taraf tersebut terhadap ibu atau bapanya?
Dai'e Mawarith Wasiyyah Shoppe Berhad, Ustaz Muhammad Nur Hafidz Abd Nasir menjelaskan, definisi anak tak sah taraf merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bermuzakarah pada 10 Jun 2003 bermaksud seperti berikut:
1 - Anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukannya daripada persetubuhan syubhah.
2 - Anak yang dilahirkan kurang dari enam bulan dua lahzah (saat) mengikut takwim qamariah dari tarikh akad nikah.
"Anak tak sah taraf adalah satu istilah khusus menurut perspektif perundangan, manakala anak luar nikah pula merujuk kepada perspektif fiqh,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.
Faktor anak sah taraf
Menurut Muhammad Nur Hafidz yang juga dikenali dengan Abu Nuha Nuwairah, sebelum mengkaji lebih lanjut mengenai anak tak sah taraf, eloklah kita mengetahui terlebih dahulu tentang konsep anak sah taraf.
Mengikut syariat Islam, konsep sah taraf merujuk kepada perakuan yang diperolehi oleh anak berkenaan sebagai anak yang sah kepada bapa berkenaan.
Mengikut para fuqaha, perolehan anak sah taraf berlaku melalui tiga cara:
1 - Melalui perkahwinan yang sah atau perkahwinan yang fasid antara kedua ibu dan bapa kepada anak berkenaan.
2 - Berlaku persetubuhan secara syubhah antara lelaki dan perempuan berkenaan.
3 - Melalui perakuan yang dibuat oleh bapa berkenaan bahawa anak berkenaan adalah anaknya.
"Namun bukan semua perkahwinan boleh menjadi asas kepada sah taraf yang dimaksudkan. Mengikut para fuqaha lagi, ia perlu mencapai tempoh enam bulan sebelum anak itu dilahirkan,” jelasnya.
Implikasi terhadap penamaan, pusaka
"Seolah-olah persoalan berkenaan hanyalah sekadar suatu perkara berbangkit daripada fatwa mereka tentang sabit atau tidak nasab keturunan antara anak zina dengan bapa biologinya.
"Oleh kerana perbincangan di atas merumuskan bahawa anak yang dilahirkan dengan cara yang tidak menepati kehendak syariat Islam tidak boleh disabitkan nasabnya dengan bapa biologinya, maka secara berbangkit dia tidak boleh dibin atau dibintikan dengan bapa biologi itu,” katanya.
Bahkan katanya, ada juga yang mendera anak tersebut yang pada hakikatnya bukanlah kesalahan anak itu.
"Implikasi kedua pula terhadap pusaka. Sama seperti masalah penamaan, masalah pusaka bagi anak tak sah taraf juga tidak dibincang secara lanjut oleh para fuqaha kerana ia merupakan implikasi dari kedudukan berkenaan yang sangat senang difahami.
"Maksudnya oleh kerana anak tak sah taraf itu tidak ada apa-apa kaitan kekeluargaan dengan bapa biologinya, maka soal pusaka antara kedua-duanya tidak berbangkit.
"Berbeza sekali dengan masalah pusaka antara anak berkenaan dengan ibu yang melahirkannya kerana apabila sudah jelas bahawa anak tersebut dalam keadaan apa sekalipun adalah anak sah kepadanya.
"Maka segala perkara yang berkait dengan kedudukan berkenaan akan berlaku seperti biasa, termasuklah masalah pusaka. Dengan kata lain, hukum pusaka akan berlaku antara kedua-duanya tanpa mengira siapa yang mempusakai siapa,” jelasnya panjang.
Ruang untuk anak tak sah taraf mewarisi ayah biologi
Menjawab persoalan apakah ada ruang untuk anak tak sah taraf mewarisi ayah biologinya atau sebaliknya, beliau berkata, anak tersebut dikira sah taraf sekiranya diputuskan penasabannya yang dilakukan melalui mahkamah.
"Ini bermakna ada ruang lagi anak tak saf taraf untuk disahtarafkan melalui mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, diingatkan bahawa fatwa seperti yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ke-52 pada 2021 adalah untuk menjaga maslahah anak dan ibu bapanya akibat kesilapan lampau setelah bertaubat daripada perkara tersebut.
"Fatwa ini bukanlah bertujuan untuk membuka ruang penzinaan. Dosa zina adalah dosa besar yang wajib dijauhi oleh orang Islam,” katanya.