KUALA LUMPUR - Keasyikan gadis kalung bunga menari dan menyanyi di atas pentas untuk menghibur pengunjung di sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah di sini semalam terbantut selepas diserbu pihak berkuasa.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, operasi bermula jam 7 malam itu menahan 13 wanita warga asing.
Menurutnya, hasil semakan awal mendapati, wanita tersebut terdiri daripada 12 warga China dan seorang Myanmar.
"Restoran itu dipercayai menyediakan tarian dan nyanyian wanita asing yang berperanan sebagai gadis kalung bunga.
"Semasa serbuan, kesemua wanita terbabit bertempiaran lari elak daripada dicekup. Pada waktu itu, wanita-wanita tersebut sedang leka menghiburkan pengunjung premis terbabit.
"Mereka ini dibayar serendah RM30 sehingga RM200 untuk layanan yang diberi,” katanya di sini hari ini.
Serbuan turut dilaksanakan di sebuah medan selera di Lorong Loke Yew di sini dan 13 pendatang asing tanpa izin ditahan."Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.