RM10 juta tangani impak Monsun Barat Daya - Nadma

Iklan
Monsun Barat Daya bermula 17 Mei dijangka membawa cuaca lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Kerajaan memperuntukkan RM10 juta kepada kerajaan negeri dan agensi terlibat bagi membolehkan pengurusan dan pengoperasian yang berkesan dalam menangani impak Monsun Barat Daya (MBD).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya akan menyelaraskan penyaluran peruntukan berdasarkan permohonan dan keperluan operasi bencana tersebut.

Iklan
Iklan

"Seperti yang telah dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), MBD yang bermula 17 Mei dijangka membawa cuaca lebih kering dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan.

"Sekiranya cuaca panas ini berpanjangan, akan menyebabkan pelbagai impak negatif meliputi kesan kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan, belukar, jerebu dan kekurangan hasil pertanian," katanya pada Jumaat.

Iklan

Ujar agensi itu, sebagai langkah kesiapsiagaan mengurangkan risiko dalam menghadapi MBD, jabatan berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah melakukan beberapa persediaan.

"JBPM telah bersiap sedia dengan persiapan logistik dan 23,566 anggota untuk digerakkan bagi menghadapi kebakaran terbuka," ujar Nadma.

Iklan

Antara persediaan logistik tersebut termasuk pesawat bombardier, tangki air, Fire Rescue Tender (FRT), pam angkut dan pengoperasian menara tinjau.

JAS turut membuat rondaan darat dan udara menggunakan drone dengan kerjasama Rela dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta mengaktifkan infrastruktur pencegahan kebakaran tanah gambut seperti telaga tiub (108), sekatan saliran (305), peziometer (96), menara tinjau (enam) dan kolam takungan (15).

"Sebanyak 100 kompaun bernilai RM200,000 telah dikeluarkan serta 56 notis arahan," katanya.

Tambah Nadma, bagi mengurangkan penyakit berkaitan haba ke tahap yang minimum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan pemantauan penyakit berkaitan haba sejak Minggu Epidemiologi pertama (ME1) dan menyampaikan aktiviti komunikasi risiko seawal mungkin.

"KKM juga memberikan rawatan seawal mungkin bagi mengelakkan mobiliti dan mortaliti. Kementerian ini juga merekodkan pemantauan kes penyakit berkaitan haba bagi mengenalpasti golongan berisiko tinggi serta melindungi mereka," katanya.

Mengulas mengenai risiko kekurangan air pada MBD, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengarahkan pengendali air di setiap negeri untuk meningkatkan kecekapan operasi mereka serta menyediakan sokongan logistik untuk memobilisasi bekalan air ke kawasan terjejas.

"JPS akan membuat pemantauan aras air dan storan empangan, pemantauan aras air dan kadar alir sungai di 25 lokasi serta pemantauan keamatan hujan di 177 stesen seluruh negara," katanya.

Menurut Nadma, operasi pembenihan awan akan dilakukan apabila terdapat keperluan dan setelah mendapat nasihat teknikal dari MetMalaysia serta ketersediaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia pada tarikh yang dicadangkan.

"Kesiapsiagaan dan langkah-langkah proaktif agensi-agensi berkaitan dalam menguruskan impak MBD diharap dapat mengatasi kegusaran orang ramai dan menghindari daripada tersebarnya maklumat yang tidak tepat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!