KOTA BHARU - Seorang lelaki cedera tembus di bahagian perut akibat tertusuk besi jambatan lama selepas dipercayai terjatuh dari jambatan Pok Nik Lah, Panchor, dekat sini pada Khamis.
Kejadian berlaku pada jam 3.30 petang dan mangsa yang berusia 35 tahun itu diselamatkan peniaga kedai makan di tepi Sungai Pengkalan Datu.
Peniaga berkenaan, Rusmini Zakaria, 34, berkata, ketika kejadia dia berada di bahagian dapur kedai sebelum melihat mangsa hanyut dalam keadaan terlentang di dalam sungai.
Menurutnya, ketika itu, dia dan seorang pekerja lelaki menyangkakan mangsa sudah meninggal dunia sebelum meminta bantuan daripada buruh binaan yang berada di seberang sungai terbabit.
"Saya bantu angkat mangsa tetapi apabila melihat isi perutnya terkeluar, saya sendiri berasa pening,” katanya ketika ditemui di kedai makannya pada Jumaat.
Rusmini berkata, orang ramai yang berada di lokasi kejadian menguhubungi ambulans dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang penduduk yang dikenali sebagai Adnan, 40, berkata, dia menyedari kejadian terbabit apabila dimaklumkan penduduk sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa yang masih sedar ketika itu memberitahu dia terdengar bisikan suara halus sebelum kejadian jatuh jambatan.
"Dia berasal dari Padang Tembak, Pengkalan Chepa dan ke jambatan itu dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave.
"Motosikal berkenaan ditinggalkan di atas jambatan tersebut,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!