PRK Kimanis: PH gagal dalam komunikasi, pemasaran

Iklan
Dr Awang Azman

SHAH ALAM - Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) dalam komunikasi dan pemasaran politik antara punca calon parti Warisan gagal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam.

Menurutnya, kedua-dua calon sama ada Barisan Nasional (BN) atau Warisan memberi persaingan yang kuat dalam membawa isu nasional dan setempat namun dilihat lebih memberi keyakinan kepada pengundi di Kimanis.

Iklan
Iklan

"Sebagai contohnya dalam isu Pas Sementara Sabah (PSS), ia sebenarnya memberi kebaikan kepada Sabah kerana mempunyai ciri biometrik yang mampu membuat 'profiling' pendatang asing.

"Secara peribadi isu ini sangat bagus kerana mempunyai ciri keselamatan dan dilihat lebih efisien tetapi bagi pembangkang (BN) ia dilihat sebagai malapetaka kepada rakyat Sabah dan naratif yang dibawa itu berjaya mendapat perhatian pengundi di PRK Kimanis,” katanya kepada Sinar Harian sebentar tadi.

Iklan

Mengulas lanjut, Dr Awang Azman berkata dalam isu ekonomi, rakyat mengharapkan perubahan kerajaan di Putrajaya akan memberi situasi yang lebih baik berbanding kerajaan terdahulu.

Bagaimanapun katanya, selepas 20 bulan tidak banyak perubahan dilakukan dengan berlaku kenaikan harga barang dan banyak elaun serta bantuan dikurangkan dan dipotong.

Iklan

"Ini menunjukkan ketidakpuasan hati rakyat bukan sahaja di Semenanjung tetapi di Sabah dan mungkin juga di Sarawak.

" Jadi isu nasional ini turut mempengaruhi pola perubahan dalam ekonomi rakyat kerana rakyat sebenarnya mahukan pendapatan mereka lebih baik berbanding sebelum ini dan rakyat telah menzahirkan protes melalui undi di PRK Kimansi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Awang Azman berkata, kerajaan PH yang kini sebagai kerajaan perlu melihat dalam konteks pembangunan dan keperluan rakyat di Sabah khususnya dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti.

"Kegagalan melihat keperluan negeri dari Borneo ini akan menyebabkan penolakan rakyat dan akan dihukum oleh rakyat atau pengundi nanti.

"PH juga perlu berubah atau menyemak semula janji pilihar raya mereka dan perlu ditunaikan,” katanya.

Dr Awang Azman turut menjelaskan keputusan PRK Kimanis itu juga sepatutnya mempercepatkan lagi peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei depan.

Katanya, ia bertujuan memberikan momentum baharu kepada pengganti untuk melakukan hala tuju bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 15 nanti.

"Kegagalan peralihan kuasa ini, saya percaya akan menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat yang mahukan ketentuan begitu juga dengan pelabur luar yang mahukan ketentuan.

"Jika keputusan tidak menentu atau tidak spesifik, ini bahaya untuk kerajaan PH dan sindrom penafian juga perlu segera dihentikan untuk terus bergerak maju ke hadapan,” katanya.