ADUN Pulau Pinang diminta kemuka cadangan tingkat hasil negeri

Iklan
Fuzi membuat pemeriksaan barisan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 pada Jumaat.

GEORGE TOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diminta mengemukakan pandangan serta cadangan bagi meningkatkan hasil negeri pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 kali ini.

Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berkata, defisit perbelanjaan negeri tidak selamanya dapat ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri sekiranya tiada peningkatan hasil yang mendadak.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, dengan iltizam dan komitmen daripada semua pihak, prestasi fiskal negeri dijangka meningkat dalam masa terdekat.

"Kerajaan negeri tidak pernah alpa memastikan kelangsungan fiskal dalam jangka masa panjang. Menyedari bahawa defisit perbelanjaan negeri tidak selamanya dapat ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri sekiranya tiada peningkatan hasil yang mendadak, kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan ‘Strategi Pengurangan Unjuran Defisit Negeri Tahun 2024’.

Iklan

"Selain itu, kerajaan negeri juga perlu mempergiatkan usaha menggandakan hasil sumber pendapatan negeri. Dalam hal ini, saya memohon agar pada sidang kali ini, semua ADUN dapat mengemukakan pandangan serta cadangan bagi meningkatkan hasil negeri," dalam ucapan perasmian di Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, secara amnya, Pulau Pinang merupakan antara negeri yang sentiasa menunjukkan prestasi kewangan yang cukup baik berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Iklan

"Hal ini kerana defisit perbelanjaan sebenar negeri masih mampu ditampung oleh baki terkumpul Akaun Hasil Disatukan Negeri sekali gus mencatat prestasi kewangan yang positif pada akhir tahun.

Menurutnya, kerajaan Pulau Pinang secara konsisten mengekalkan prestasi yang amat baik dalam perspektif tatakelola kewangan apabila menerima Sijil Ketua Audit Negara Dengan Pendapat Tanpa Teguran Dengan Perenggan Hal-hal Lain bagi Penyata Kewangan Negeri Tahun 2022 pada 28 Ogos tahun lalu.

November tahun lalu, Pulau Pinang mencatatkan unjuran defisit sebanyak RM514.53 juta dalam Belanjawan 2024 selepas 13 kali mengalami bajet defisit sejak 2011.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, nilai defisit itu bertambah sebanyak RM47.41 juta berbanding defisit tahun 2023 yang berjumlah RM467.12 juta.

Menurutnya, anggaran defisit atau kekurangan RM514.53 juta yang dijangka dalam Belanjawan 2024 akan dibiayai daripada rizab kerajaan negeri, termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki sebanyak RM1.67 bilion pada 15 November 2023.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun 2024 berjumlah RM533.1 juta iaitu pertambahan sebanyak RM10.73 juta atau 2.05 peratus berbanding anggaran hasil tahun semasa 2023 sebanyak RM522.35 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!