PASIR PUTEH - Seorang peniaga nasi kerabu di Kampung Air Tawar di sini kecewa dan sedih melihat kereta Perodua Myvi miliknya hangus 100 peratus dalam kebakaran kira-kira jam 4 pagi Jumaat.
Insiden itu turut mengakibatkan ruang hadapan kedainya hangus manakala dua lagi kedai bersebelahan turut terbakar.
Muhammad Izat Haiqal Mohd Zaki, 22, berkata, ketika kejadian, dia dan tujuh lagi ahli keluarga sedang nyenyak tidur, sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.
"Saya terus berlari membuka pagar besi kedai dan mendapati bahagian belakang kereta dijilat api yang sedang marak sebelum kesemuanya hangus," katanya ketika ditemui di lokasi itu.
Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut, semua ahli keluarga berlari keluar melalui pintu belakang sambil menenangkan bapanya yang sangat terkejut dengan kejadian itu.
Anak ketiga daripada tujuh beradik itu bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada pihak polis dan bomba untuk siasatan lanjut.
"Sebelum ini saya tidak melihat sebarang keadaan pelik di kedai walaupun ramai pelanggan yang datang untuk membeli nasi kerabu," katanya.
Sementara itu, pemilik kedai cermin dan aluminium, Mohamad Rafiq Rosli, 21, menerima panggilan telefon daripada Muhammad Izat Haiqal kira-kira jam 5 pagi.
Dia yang tinggal di Kampung Jelor Pasir Puteh terus bergegas ke kedainya dan mendapati pasukan bomba sedang memadamkan kebakaran.
"Saya terkejut melihat bahagian hadapan kedai hangus manakala beberapa pendawaian rosak teruk," katanya.
Mohamad Rafiq yang kini buntu memikirkan kejadian itu memberitahu mungkin akan membuka kedainya minggu hadapan selepas semua kerosakan dibaiki.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!