Bantuan tunai diesel: Kaedah kad lebih relevan

Iklan
Laporan Sinar Harian

KOTA BHARU - Golongan peniaga kecil dan sederhana di negeri ini berpendapat kaedah penggunaan kad lebih relevan berbanding kaedah-kaedah lain bagi penyaluran bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak.

Seorang peniaga lemang, Fauzi Zakaria, 56, berkata, cara atau penggunaan kad pemberian bantuan tersebut akan lebih sesuai jika dibandingkan dengan pemberian tunai.

Iklan
Iklan

Fauzi berkata, jika pemberian bantuan diberikan secara tunai, perkara tersebut hanya akan menyebabkan penerima tersalah guna kepada perkara-perkara lain.

"Jadi, penyaluran bantuan tunai diesel secara kaedah kad minyak yang boleh ditunaikan di stesen minyak adalah paling tepat supaya penggunaannya hanya untuk pembelian diesel sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Sebelum itu, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia menyarankan kerajaan untuk menyalurkan subsidi diesel melalui medium khas iaitu kad sistem In2Niaga yang hanya boleh diakses masyarakat penjaja dan peniaga kecil, sebagai mekanisme memastikan bantuan tunai diberikan hanya dibelanjakan untuk bahan api tersebut selain mengawal kenaikan harga jualan.

Seorang lagi peniaga kedai makan, Mohd Lokeman Yusof, 49, berkata, pemberian bantuan secara tunai sememangnya menjadi pilihan, namun keadaan itu tidak dapat menjamin penggunaan wang tersebut secara tepat seperti yang disasarkan oleh kerajaan.

Iklan

Sehubungan itu, katanya, kerajaan juga boleh melaksanakan pemberian kad minyak dan memperkemaskan lagi melalui sistem nombor pendaftaran.

"Misalnya, semakan untuk kelayakan penerima boleh dibuat melalui penelitian data-data pemilikan kenderaan di Jabatan Pengangkutan Jalan.

"Dengan cara ini juga, bantuan tersebut akan tepat sampai kepada golongan sasaran iaitu mereka yang memiliki kenderaan diesel,” katanya yang membelanjakan RM50 setiap tiga hari bagi kos disel untuk kenderaaan pacuan empat rodanya.

Dalam pada itu, peniaga tembikai, Muhamad Zulhilmi Samurai @ Zulkifli, 24, berkata, bersetuju dengan cadangan pemberian kad kerana diri sendiri juga terfikir untuk menggunakan duit tersebut untuk tanamannya.

"Belum dapat duit pun saya dah terfikir nak gunakan untuk belanja pengurusan tanaman.

"Sebab itu, kad adalah kaedah yang baik,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!