SHAH ALAM - Astro dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan saluran sementara Malaysia4Palestine selama 24 jam yang didedikasi untuk mengetengahkan krisis kemanusiaan di Palestin.
Menerusi satu kenyataan, stesen televisyen itu berkata, saluran tersebut tersedia bermula jam 12 tengah hari pada Sabtu ini sehingga Ahad di Astro 111, Astro GO dan sooka serta RTM melalui Klik tanpa caj tambahan.
"Kerjasama yang julung kali dilakukan ini menghimpunkan bakat, pempengaruh, pemain industri dan pekerja kemanusiaan dalam bersama-sama memupuk kesedaran tentang perjuangan rakyat Palestin.
"Saluran Malaysia4Palestine akan menampilkan temu bual, persembahan khas dan dokumentari dalam mengetengahkan nasib rakyat Palestin," katanya pada Jumaat.
Ujarnya, personaliti terkenal yang akan turut mengambil bahagian dalam inisiatif Malaysia4Palestine termasuk Datuk M Nasir, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus, Datuk Aaron Aziz, Dr Soo Wincci dan Alif Satar.
Dalam pada itu, ia turut melibatkan Lisa Surihani, Denes Kumar, Datuk Syafinaz Selamat, Elizabeth Tan, Sherry Alhadad, Ceddy Ang, Nadhir Nasar, Meerqeen, Naim Daniel, Mira Filzah, Bella Astillah, Ella, Thomas Kok, Nabil Ahmad dan ramai lagi.
"Dengan menonton saluran Malaysia4Palestine, penonton berpeluang menyumbang secara langsung ke tabung rasmi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dengan mengimbas kod QR yang akan disediakan pada skrin.
"Malaysia4Palestine juga boleh didapati di NJOI, Gempak, XUAN dan Astro Ulagam," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!