Membudayakan kualiti dalam pendidikan tinggi

Iklan
Budaya kualiti dalam pendidikan tinggi adalah satu elemen penting dalam memastikan universiti dapat mencapai kecemerlangan akademik dan disegani di peringkat global. Gambar hiasan

MEMBUDAYAKAN kualiti dalam pendidikan tinggi memerlukan komitmen yang berterusan bagi menjamin kecemerlangan dalam operasi universiti terutamanya dalam aspek pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan kepada komuniti.

Melalui visi dan misi yang dikomunikasikan dengan jelas, penekanan kepada pentingnya kualiti dan kecemerlangan akan dapat difahami oleh pemegang taruh dalaman universiti.

Iklan
Iklan

Komitmen dan inisiatif yang dipacu kepimpinan secara berterusan perlu diterjemahkan melalui sokongan sumber dan latihan.

Walaupun penumpuan pendidikan tinggi adalah kepada pengajaran dan pembelajaran, tidak bermakna keperluan membudayakan kualiti hanya diletakkan di bahu staf akademik semata-mata.

Iklan

Malah, staf sokongan perlu dilibatkan bermula dari peringkat perancangan, pelaksanaan sehinggalah ke peringkat penilaian.

Kebersamaan perlu dipupuk dalam setiap proses pengurusan kualiti di universiti.

Iklan

Pelajar juga memainkan peranan dalam memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran dimaksimumkan.

Galakan dalam memberi maklum balas berterusan oleh pelajar terhadap program akademik, kursus dan aktiviti penyelidikan amat signifikan bagi membolehkan input yang diberikan diguna pakai dan proses berkaitan dapat diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dalam era yang bersandarkan kepada data-driven decision making, penggunaan data dalam membuat keputusan yang tepat amat membantu kerana sebarang tindakan yang hendak dilakukan adalah berdasarkan kepada bukti yang sahih.

Selain daripada itu penginovasian dan penyelidikan dalam pengajaran dan pembelajaran juga mencerminkan kualiti yang dicapai dalam sesebuah universiti.

Sekiranya tidak ada usaha yang dilakukan kesannya adalah kepada pelajar kerana pensyarah masih berada di takuk lama dan tidak mahu mengikut peredaran masa.

Dalam pada itu, pengiktirafan dan ganjaran turut menjadi satu mekanisme untuk memotivasikan staf dan pelajar yang menunjukkan komitmen terhadap kualiti dan kecemerlangan.

Inisiatif seperti mewujudkan program anugerah menjadi pemangkin kepada staf dan pelajar untuk lebih berdaya saing dan memupuk sikap memberikan yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan.

Kejayaan yang diraih mereka adalah refleksi terhadap kesungguhan universiti untuk memartabatkan kualiti.

Komunikasi yang berkesan merupakan aspek paling penting.

Ketelusan dalam menyampaikan maklumat mengenai inisiatif kualiti dan hasil penilaian disampaikan dengan jelas kepada semua pihak berkepentingan.

Sesi dialog, pertemuan dan perbincangan terbuka menjadi platform untuk staf dan pelajar mengajukan cadangan.

Staf yang lama dan baharu dalam perkhidmatan perlu diberikan pendedahan berterusan supaya mempunyai pemahaman yang sama terhadap apa yang ingin dicapai universiti.

Kesimpulannya budaya kualiti dalam pendidikan tinggi adalah satu elemen penting dalam memastikan bahawa universiti dapat mencapai kecemerlangan akademik dan disegani di peringkat global.

Dengan melakukan tindakan-tindakan yang proaktif dan efektif, universiti akan dapat mengekalkan kecemerlangan sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan dan menghasilkan graduan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi.

* Dr Wan Hartini Wan Zainodin adalah Ketua Komunikasi dan Pengembangan Ilmu di Institut Kualiti Pengembangan Ilmu dan Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!