NIBONG TEBAL - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan memaklumkan kekosongan kerusi bagi DUN Sungai Bakap kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Sabtu
Ia berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Nor Zamri Latiff di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya pada petang Jumaat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua urusan akan diserahkan kepada SPR berhubung kekosongan kerusi berkenaan.
"Setiausaha DUN, Azizal Ahmad akan memaklumkan kekosongan dalam DUN kepada SPR esok.
"Selain itu, kita serah kepada SPR (untuk membuat keputusan) selari dengan Perlembagaan dan undang-undang," katanya ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Sungai Acheh dekat sini pada Jumaat.
Kon Yeow sebelum itu turut merakamkan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Nor Zamri di atas kematiannya.
"Kita baru kenal selepas PRN Ogos lalu dan baru sempat bersidang sekali sahaja. Namun kita menerima hakikat (terhadap kematian ini)," tambahnya.
Nor Zamri menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.38 petang dan jenazah dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Acheh untuk penghormatan terakhir sebelum disembahyangkan di Masjid Sungai Acheh pada jam 6.30 petang yang turut dihadiri kira-kira 1,000 orang.
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak turut hadir di Masjid Sungai Acheh untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek serta beberapa pimpinan negeri antaranya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Timbalan Speaker Pulau Pinang, Datuk Datuk Azrul Mahathir Aziz, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye dan Choon Aik juga hadir.
Kon Yeow dan pemimpin negeri lain juga mengiringi jenazah Nor Zamri yang diusung dari rumahnya sejauh kira-kira satu kilometer ke masjid sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Acheh.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!