SHAH ALAM - Kanta lekap tanpa kelulusan pihak berkuasa didapati dijual secara berleluasa di platform dalam talian pada harga serendah RM1.30 seunit bagi kanta lekap pakai buang.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, salah satu penjual telah berjaya menghantar lebih 10,200 unit kanta lekap berkenaan dengan rata-rata pembeli meninggalkan maklum balas di ruangan komen bahawa mereka berpuas hati dengan barangan yang dibeli.
Bukan itu sahaja, ada dalam kalangan mereka memaklumkan mahu membuat pembelian semula kerana produk berkenaan didakwa berkualiti, selesa serta sesuai dengan anak mata.
Dalam pada itu, kanta lekap berwarna dijual serendah RM2.80 untuk sebelah mata atau RM5.60 sepasang bagi penggunaan selama enam bulan dan telah terjual lebih 5,900 unit.
Meninjau ke ruangan pemilihan warna kanta, penjual menawarkan sebanyak tiga jenis rona antaranya coklat, kelabu dan hitam.
Bagaimanapun, ruangan penerangan produk tersebut sama sekali tidak memaklumkan ia memiliki kelulusan daripada Kementerian Kesihatan atau mana-mana badan bertauliah.
Rata-rata pembeli kanta lekap berwarna itu memberikan penilaian tertinggi iaitu lima bintang dengan ulasan produk berkenaan berbaloi dibeli kerana murah, penghantaran pantas dan selesa untuk dipakai.
Sementara itu, platform jualan atas talian lain turut menawarkan kanta lekap serendah RM10.50 bagi penggunaan tiga hingga ke 12 bulan dengan 21 pilihan warna.
Walaupun penjual tidak menyatakan kanta lekap berkenaan memiliki kelulusan klinikal, namun ia telah terjual lebih 13,700 unit. Pada masa sama, kanta lekap yang memiliki nombor pendaftaran daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan berdaftar di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737) turut terjual di platform dalam talian.
Produk yang berdaftar itu dijual pada harga RM20 bagi penggunaan selama sebulan dan ia terjual lebih 4,000 unit.
Tinjauan menunjukkan kebanyakan produk berdaftar tidak mempunyai ramai pembeli kerana majoriti harga bermula dari RM20 hingga ratusan ringgit.
INFO
Anggaran harga kanta lekap
Tiada nombor pendaftaran MDA/ Akta 737
-RM2.00 sepasang kanta lekap pakai buang harian
-RM5.60 sepasang untuk kegunaan enam bulan
-RM10.50 sepasang untuk tiga ke 12 bulan
Ada nombor pendaftaran MDA/ Akta 737
-RM4.40 sepasang kanta lekap pakai buang harian
-RM20-RM70 sepasang kanta lekap bulanan
-RM50 sepasang untuk kegunaan tiga ke empat bulan
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!