SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk melakukan rombakan besar-besaran terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) susulan kes penyelewengan yang bersarang dalam agensi tersebut berada di tahap membimbangkan.
Setiausaha Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, antara tindakan yang boleh dilakukan adalah pihak pengurusan tertinggi agensi tersebut perlu dilantik daripada organisasi luar.
"Inilah satu-satunya cara untuk memutuskan rantaian hubungan ‘intim’ salah laku kuasa antara pihak atasan dengan pihak bawahan.
"Kebiasaannya salah laku dengan skala yang sebesar ini hanya akan berlaku jika ada kerjasama antara pihak bawahan dengan atasan,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Helmi, pembongkaran yang dilakukan itu sangat mengejutkan kerana ia dipercayai beroperasi hampir tujuh tahun lalu melibatkan RM4.7 juta.
"Apa yang mengejutkan juga adalah pembongkaran kedua sindiket rasuah selepas pendedahan 29 Mac lalu yang bernilai RM2 bilion turut melibatkan anggota kastam.
"Lebih mendukacitakan, kelemahan pihak pengurusan tertinggi agensi berkenaan dalam membendung amalan rasuah sedangkan salah laku ini telah berlaku sejak sekian lama. Tindakan tegas dan menyeluruh perlu dilakukan segera,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengesan sindiket yang dilumpuhkan dalam Ops Samba baru-baru ini menggunakan modus operandi forwarding agent yang bertindak sebagai orang tengah bagi membayar rasuah kepada penguat kuasa.
Menurut sumber, pegawai kastam yang bertugas dalam pemeriksaan kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur diberi sogokan sebagai balasan melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.
Dakwa sumber itu lagi, sindiket tersebut dipercayai melakukan perbuatan penyeludupan dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa itu sejak 2017 hingga 2024.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!