NOUMEA -"Segera kembalikan keamanan dan keselama-tan. Hal itu adalah perkara paling utama ketika ini.”Gesaan itu dibuat Presiden Perancis, Emmanuel Macron ketika beliau mengadakan lawatan ke New Caledonia pada Khamis yang berdepan insiden pertempuran ganas sehingga meragut enam nyawa, manakala ratusan yang lain cedera sejak 13 Mei lalu.
Cadangan Macron untuk menempatkan pasukan keselamatan sehingga situasi benar-benar terkawal walaupun ketika Paris sedang menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik pada Julai-Ogos depan dikhuatiri akan membangkitkan lagi kemarahan komuniti di provinsi tersebut.
Wilayah Pasifik itu diperintah Paris sejak 1800-an, namun sebahagian besar suku peribumi, Kanak menolak ‘kuasa’ tersebut dan menuntut hak autonomi sepenuhnya atau memperoleh kemerdekaan.
"Saya tidak tahu kenapa orang luar sibuk campur tangan tentang hal kami, sedangkan mereka bukan menetap di sini,” ujar Mike, 52, di sekatan didirikan puak pemisah di utara Noumea merujuk kepada kunjungan Macron yang sebelum ini pernah dipulaukan komuniti berkenaan.
Sejak lebih seminggu lalu, golongan itu terus menghalang laluan utama, sekali gus memutuskan akses di seluruh kawasan kejiranan.
Bagi mengekang rusuhan ganas itu, pihak berkuasa telah melaksanakan perintah darurat dan mengenakan tahanan rumah ke atas beberapa pemimpin puak pemisah serta melarang jualan minuman alkohol, selain mengerahkan kira-kira 3,000 anggota keselamatan untuk mengawal situasi.
Protes besar-besaran dalam tempoh empat dekad itu tercetus selepas Parlimen Perancis memberikan hak mengundi dalam pilihan raya wilayah kepada ribuan penduduk bukan peribumi yang sudah menetap di New Caledonia selama sedekad yang dikhuatiri suku Kanak bakal memberi impak kepada pengaruh undian mereka.
Keputusan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan komuniti peribumi Kanak yang mewakili 40 peratus daripada populasi keseluruhan meskipun Paris mendakwa langkah pembaharuan itu tidak akan menjejaskan demokrasi di Noumea.
Mereka berpendapat tindakan sedemikian akan menghalang usaha untuk meraih kemerdekaan daripada Perancis.
Kira-kira tiga hari selepas keganasan semakin tidak terkawal, pasukan tentera dikerahkan ke pelabuhan dan Lapangan Terbang Antarabangsa New Caledonia, malah sekatan turut dikenakan terhadap aplikasi TikTok.
Puak Kanak semakin berang dengan rancangan untuk meminda Perlembagaan yang akan membatalkan perjanjian mengehadkan hak mengundi pada 1998.
Pihak berkuasa Perancis pula menuding jari menyalahkan kumpulan prokemerdekaan dikenali sebagai CCAT yang didakwa mencetuskan kebangkitan penduduk untuk melancarkan demonstrasi ganas.
"Kami tidak mahu komuniti ini lenyap. Kami akan berjuang sehingga New Caledonia bebas,” laung seorang penunjuk perasaan.
New Caledonia terletak sejauh kira-kira 17,000 kilometer dari tanah besar Paris, namun ia kekal sebagai pos strategik dan sebahagian daripada Perancis.
Noumea pernah menolak kemerdekaan sebanyak tiga kali menerusi referendum termasuk kali terakhir ketika pandemik Covid-19 yang turut diboikot komuniti Kanak.
Ketika ini persaingan semakin meningkat antara China, Amerika Syarikat (AS), New Zealand, Jepun, Perancis dan negara Teluk bagi mendapatkan pengaruh di seluruh rantau Pasifik Selatan berikutan ia dilihat sebagai hartanah geopolitik yang penting serta menjadi rebutan. - Agensi/AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!