KARIER bola sepak Lucas Paqueta berada dalam ancaman serius.
Ini kerana Paqueta baru saja didakwa terlibat dalam pelanggaran berkaitan pertaruhan kerana didakwa sengaja mendapat kad kuning.
Dia melengkapkan perpindahan ke West Ham pada awal musim 2022/23 lalu selepas dibeli dari Lyon dengan harga rekod kelab £51 juta (RM267.98 juta)
Bersama West Ham, Paqueta tampil cemerlang dan menjadi pemain tengah paling bersinar di England.
Musim lalu, pemain antarabangsa Brazil itu membantu The Hammers memenangi Liga Konferensi Eropah dan disebut-disebut menyertai Manchester City bagi musim 2024/25.
Namun, Paqueta kini terlibat dalam situasi yang sangat rumit selepas pemain berusia 26 tahun itu didakwa sengaja mendapat kad kuning dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dia didakwa sengaja mendapatkan kad kuning dalam perlawanan menentang Leicester, Aston Villa, Leeds United serta Bournemouth pada tahun 2022 dan 2023.
Paqueta sendiri telah menafikan segala tuduhan yang dikenakan kepadanya.
"Saya sangat terkejut dan kecewa kerana FA Inggeris telah memutuskan untuk mendakwa saya. Selama sembilan bulan, saya telah bekerjasama dengan setiap siasatan mereka dan memberikan semua maklumat.
"Saya menafikan tuduhan tersebut secara keseluruhan dan akan berjuang untuk membersihkan nama baik saya. Oleh kerana proses yang sedang berlangsung, saya tidak akan memberikan komen lebih lanjut,” katanya kepada Sky Sports.
Pada 2019 ketika menyarung jersi AC Milan, Paqueta digantung tiga perlawanan selepas sengaja menepuk seorang pengadil ketika perlawanan Serie A.
Sebelum ini, Daily Mail melaporkan bahawa Paqueta boleh dihukum gantung sehingga 10 tahun kika didapati bersalah.
Hukuman tersebut menyamai hukuman yang dikenakan terhadap bekas pemain England, Kynan Isaac.
Isaac dilarang aktif dalam bola sepak selama satu dekad selepas terlibat dalam pertaruhan yang hampir serupa dengan Paqueta.
Dia sengaja mendapat kad merah ketika mewakili Stratford Town dalam perlawanan Piala FA menentang mShrewsbury, kira-kira tiga tahun lalu.
Tuduhan dan hukuman yang bakal dihadapi Paqueta menyebabkan West Ham tidak senang duduk dan kelab itu mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang sebagai langkah berikutnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!