Operasi cari warga emas hilang dipercayai jatuh bot diteruskan

Iklan
Anggota polis dan bomba membaca doa sebelum memulakan operasi SAR. Foto BBP Segamat

SEGAMAT – Polis masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR), seorang lelaki warga emas selepas dipercayai terjatuh dari bot miliknya di kawasan Sungai Kampung Balai Badang di sini, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya menerima makluman daripada Ketua Kampung Balai Badang, Buloh Kasap berhubung seorang penduduk telah keluar ke sungai untuk mengalihkan bot.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Ahmad Zamry berkata, pihaknya dimaklumkan lelaki tersebut tidak pulang semula ke rumah dan dikhuatiri hilang di sungai berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 66 tahun telah keluar dari rumah untuk memancing di tebing Sungai Palong yang berada kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Iklan

"Pada jam 9.30 pagi, mangsa telah pulang ke rumah membawa hasil memancing, namun keluar semula untuk mengalihkan bot miliknya kerana bimbang dihanyutkan arus kerana paras air sungai ketika itu naik kerana hujan pada sebelah malamnya.

"Bagaimanapun, pada jam 12.30 tengah hari, mangsa masih belum pulang dan isterinya bertindak meminta bantuan penduduk kampung bagi membantu mencari mangsa di sekitar kawasan sungai.

Iklan

"Penduduk kemudiannya menemui bot mangsa pada jam 3.30 petang, yang tersangkut di kawasan semak sungai kira-kira sejauh 250 meter dari lokasi kebiasaannya,” katanya.

Untuk rekod, operasi SAR pertama pada Jumaat disertai 20 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 20 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Segamat.

Bagaimanapun, SAR dihentikan pada jam 7 malam akibat cuaca yang gelap serta arus sungai yang agak deras.

Operasi SAR diteruskan pada Sabtu dengan tindakan unit selam dan pengesanan mangsa melalui rondaan tiga bot PDRM dan BBP Segamat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!