'Ibu, abang meluru masuk rumah kedai terbakar mahu selamatkan adik'

Iklan
Pasukan bomba sedang berusaha memadamkan api di premis rumah kedai di Balik Pulau pada pagi Sabtu. Rashid (kanan) menunjukkan kad pengenalan ibu, abang dan adiknya yang maut dalam kebakaran tersebut.

BALIK PULAU - Satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di sini tidak menyangka ibu dan abangnya meluru masuk semula ke premis itu untuk menyelamatkan adik perempuannya.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Rashid, 29, berkata, pada mulanya dia juga ingin mengikuti tindakan ibu dan abangnya, namun gagal kerana keadaan asap yang tebal.

Iklan
Iklan

"Ibu saya agak emosi selepas menyedari adik perempuan saya tiada di luar rumah kedai. Dia terus meluru masuk ke dalam diikuti abang saya.

"Saya tak sempat nak kata apa-apa, mereka terus berlari masuk. Mula-mula saya pun nak ikut abang dan ibu tetapi tak boleh sebab asap terlalu tebal, selain keadaan gelap kerana bekalan elektrik terputus.

Iklan

"Saya dah terhidu asap tebal sehingga rasa nak pitam dan tekak saya sakit menyebabkan saya hanya tunggu di luar (kedai)," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, dua anak maut kebakaran rumah kedai

Bercerita lanjut, Rashid yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, ketika kejadian, dia, abang dan adik perempuannya tidur di tingkat atas manakala ibunya di tingkat bawah.

Iklan

Dia dan keluarga tinggal di premis menjual permaidani dan peralatan mengerjakan haji itu sejak lebih 20 tahun lalu.

Kedai berkenaan merupakan perniagaan warisan yang diusahakan oleh datuknya.

"Kejadian berlaku dalam jam 6.30 pagi, kami terkejut apabila terdengar ibu menjerit dari bawah.

"Api dan asap bermula dari depan kedai. Apabila terdengar ibu menjerit, kami pun turun ke bawah.

"Kami berlari ke arah belakang premis dan ketika itu lah ibu sedar adik perempuan tak ada bersama kami. Dia panik dan terus masuk tanpa berfikir panjang," katanya.

Tambah Rashid, dia agak ralat selepas anggota bomba memaklumkan jasad ibu, abang dan adik perempuannya ditemui di tingkat bawah.

"Ibu, abang dan adik ditemui di tingkat bawah, bermakna mereka sudah turun ke bawah, namun tersalah laluan.

"Mereka menuju ke arah pintu hadapan di mana punca kebakaran berlaku.

"Sepatutnya mereka menghala ke arah belakang tetapi mungkin kerana keadaan gelap dan asap tebal, ditambah dengan panik pula, jadi mereka tersalah laluan," katanya.

Rashid berkata, walaupun sedih kerana kini tinggal sebatang kara, dia reda dengan kejadian yang berlaku.

"Saya kini hidup sebatang kara, ibu, abang, adik sudah tiada. Bapa sudah lama meninggal dunia.

"Saya tak tahu perancangan selepas ini, masih buntu dengan kejadian ini.

"Semua barang berharga, wang tunai dan barang jualan tidak dapat diselamatkan. Ia musnah sekelip mata," katanya.

Sementara itu, pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balik Pulau yang ditemui di Hospital Balik Pulau berkata, Rashid akan diberi bantuan sementara seperti tempat tinggal dan wang tunai berikutan dia kini hanya tinggal sehelai sepinggang..

"YB akan bantu menyediakan tempat tinggal iaitu 'homestay' untuk Rashid. Selain itu, YB juga akan beri bantuan wang tunai, makan, minum serta pakaian.

"Jenazah ibu, abang dan adik mangsa akan disemadikan di Tanah Perkuburan Titi Serong, Masjid Kongsi di sini selepas proses bedah siasat selesai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal mengesahkan kejadian tersebut.

Kamarul berkata, mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Nurul Bowjiya, 58, Muhammad Ibrahim, 33, dan Rahbiah Jasmin, 20.

"Kesemua mangsa adalah ibu dan dua anak. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat.

"Punca kebakaran masih disiasat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

b